Trending

Angkat keunikan Bumi Kenyalang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Stesen radio KUPIKUPI FM Sarawak dapat membantu mempromosikan etnik di Sarawak, sekali gus mengangkat keunikan Bumi Kenyalang yang kaya dengan pelbagai bahasa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, stesen radio tersebut dapat memberi peluang kepada orang ramai mengetahui bahasa semua etnik yang ada di Sarawak.

“Menggunakan stesen radio ini, kita dapat memberi peluang kepada subetnik yang lain untuk bersiaran bersamasama penyampai radio di KUPIKUPIFM Sarawak untuk kita memberitahu orang ramai bahawa terdapat 31 etnik di negeri ini.

“Bukan majoriti etnik sahaja kerana kemungkinan ramai golongan muda masa kini tidak mengetahui subetnik yang lain ataupun bagaimana bahasa yang digunakan oleh mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KUPIKUPI FM Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu Snowdan mencadangkan stesen radio itu mengadakan satu segmen untuk mengetengahkan etnik-etnik yang jarang diketahui umum di Sarawak.

Katanya, ia supaya golongan muda mengetahui beberapa etnik yang tidak diketahui tersebut yang ada di Sarawak.

“Mungkin mereka pernah melihat beberapa entik dalam buku, Google dan sebagainya tetapi sudah tentu mereka belum pernah mendengar etnik-etnik tersebut berkomunikasi.

“Justeru pihak stesen radio KUPIKUPIFM boleh mengambil peluang ini untuk memberi pendidikan kepada anak muda supaya mereka tahu banyak lagi etnik yang wujud di Sarawak,” katanya.

Dengan misi perpaduan Borneo, KUPIKUPI FM SARAWAK yang ke udara menerusi frekuensi 92.5 Mhz. membawakan kepada anda perjalanan muzik tempatan serta informasi terkini di Sarawak.

Selain itu, KUPIKUPI FM Sarawak juga mencetuskan inspirasi kepada pendengar dan beridentitikan tempatan dengan tampil menggunakan slogan ‘Sama Dirik Pok’.

Antara enam penyampai radio KUPIKUPI FM adalah Ezmir Sadriq, Jalee, Wena, Maria, Leez, dan Abang Lan yang akan menghiburkan pendengar setiap hari.

Pengurus Besar KUPIKUPI FM, Lester Calvin Miol; Pengasas dan Pengarah Bersama OOGA X, Fui K Soong dan Pengurus KUPIKUPI FM Sarawak, Gideon Jute turut hadir.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru