KUCHING: Syarikat korporat dan hospital swasta di Sarawak digesa untuk menganjurkan lebih banyak program berkhatan beramai-ramai bagi membantu masyarakat yang memerlukan sekali gus sebagai usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan mengikuti usaha Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ KcSH) dalam menganjurkan Program Berkhatan Mega melibatkan masyarakat.
“Sudah tiba masanya pihak korporat, hospital tidak kira kerajaan atau swasta mengadakan lebih banyak program CSR yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Justeru, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada KPJ KcSH kerana melangkaui perniagaan biasa anda dan menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi usaha ini,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian Program Berkhatan Mega di KPJ KcSH, di sini, hari ini.
Tambahnya, melalui program CSR juga masyarakat dan badan korporat dapat mengadakan penglibatan yang lebih baik dengan mereka yang memerlukan sekali gus membantu memahami keperluan kumpulan tersebut.
“Jadi, ini adalah hala tuju ke hadapan dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat, bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara.

“Kerajaan Sarawak juga sentiasa menyokong program pembangunan masyarakat, dan itulah sebabnya saya ke sini pagi ini untuk memberi sokongan moral kepada kanak-kanak yang menjalani prosedur berkhatan,” ujarnya.
Program itu menyaksikan 60 murid lelaki berusia lapan hingga 12 tahun dari pelbagai sekolah menjalani prosedur berkhatan di hospital swasta berkenaan.
Hadir sama Pengarah Perubatan KPJ KcSH Dr David Ling dan Ketua Balai Bomba Tabuan Jaya Mohamad Meramit.