Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Antara sains dengan politik

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Dr. Mus Chairil

SAINS dan politik adalah dua perkataan yang berbeza dari segi makna dan kegunaan.
Namun kedua-duanya dalam komunikasi politik adalah lambang yang memerihalkan idea.
Sains melambangkan struktur tingkah laku yang berasaskan pemikiran rasional. Secara tersirat, sains bererti tindakan bersifat objektif yang mengetepikan kepentingan peribadi.
Politik pula melambangkan aktiviti untuk mentadbir sesebuah negara.
Namun yang tersirat dalam politik ialah tingkah laku ini kadangkala mengetepikan pemikiran rasional demi mengekalkan kuasa pemiliknya.
Perlambangan ini digarap dengan bijak oleh Joe Biden sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat menggantikan Donald Trump.
Biden menggunakan simbol sains bagi melambangkan tingkah lakunya yang berasaskan pemikiran rasional yang terbukti benar berdasarkan penyelidikan saintifik.
Beliau seterusnya melambangkan tingkah laku Trump tidak berasaskan sains tetapi lebih kepada kepentingan politik.
Kemampuan menggunakan simbol penting dalam komunikasi strategik.
Perkataan mewakili sesuatu benda sama ada yang boleh dilihat mahupun abstrak. Kemampuan menggunakan simbol bahasa membezakan manusia daripada haiwan.
Kita menggunakan simbol-simbol bahasa untuk menyampaikan maksud tersurat dan tersirat.
Biden menjelaskan tindakan menangani wabak Covid-19 di Amerika Syarikat akan berdasarkan “sains, bukan politik.” Apakah yang dimaksudkan oleh Biden?
Maksud ini boleh dirungkaikan apabila kita membandingkan tindakan Biden daripada Trump.
Biden ingin menegaskan bahawa tindakan Trump lebih kepada politik.
Trump didakwa mendahulukan kepentingan politiknya daripada menyediakan rancangan khusus untuk memberi suntikan vaksin percuma kepada rakyatnya.
Biden menetapkan sasaran 100 juta suntikan vaksin dalam masa 100 hari.
Langkah ini mampu meliputi 50 juta rakyat Amerika sebab setiap orang perlu menerima dua dos vaksin tersebut.
Biden memilih simbol suntikan vaksin Covid-19 untuk menjarakkan dirinya dari Trump. Beliau dengan bijak menggunakan pakar penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci untuk menyokong agendanya.
Malah Biden menegaskan bahawa rakyat Amerika akan mendengar lebih banyak daripada Fauci daripada Presiden tentang Covid-19.
Biden menonjolkan Fauci sebagai lambang pakar perubatan yang tidak mempunyai kepentingan politik.
Presiden Amerika Syarikat itu berkata, “kami akan memastikan mereka (pakar perubatan) dapat bekerja secara bebas tanpa campur tangan politik dan keputusan mereka hanya berdasarkan sains dan penjagaan kesihatan tanpa memikirkan implikasi politiknya.”
Perkara ini disokong Fauci apabila kembali ke Rumah Putih untuk memberi taklimat tentang Covid-19 sebaik sahaja Biden menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat. Tanpa menyorok perasaannya, Fauci berkata, “secara jujurnya, saya boleh beritahu anda (wakil media) tentang kesukaran bertindak apabila kata-kata saya bercanggah dengan Presiden (Trump).
“Kemampuan untuk berdiri (memberi taklimat kepada media) dan bercakap kepada anda tentang apa yang saya tahu, apakah bukti-buktinya, apa kata sains – biar sains bercakap. Itulah kebebasan sebenarnya,” kata Fauci.
Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dijadikan lambang kepentingan sains dalam menangani wabak Covid-19.
Perlambangan ini semakin penting apabila lebih 408,000 rakyat Amerika sudah terkorban kerana wabak Covid-19 ini.
Wabak virus berbahaya ini sudahpun menjangkiti lebih 24 juta rakyat Amerika setakat Khamis lalu.
Dalam konteks ini, Biden sendiri telah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara itu pada 21 Disember lalu.
Presiden Amerika yang baharu itu menerima suntikan vaksin yang dimajukan oleh Pfizer-BioNTech.
Tindakan ini sebagai pengiktirafan bahawa vaksin itu benar-benar selamat digunakan.
Isteri beliau turut menerima suntikan serupa. Setelah beribu-ribu rakyat Amerika meninggal dunia kerana wabak Covid-19, Biden menggunakannya sebagai bahan kempennya.
Semasa berkempen, beliau menekankan bahawa pentadbiran baharu apabila dipilih akan mengambil berat isu kesihatan awam.
Dalam konteks ini, Biden mengambil berat untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
Tindakan ini jelas berbeza daripada langkah Trump dengan anggota kabinetnya.
Orang politik amat peka tentang kepentingan dan penggunaan simbol.
Orang politik kerap menonjolkan dan mengulangi simbol-simbol terpilih bagi mendapat sokongan orang ramai.
Simbol pilihan ini memudahkan orang ramai memahami agenda seseorang ahli politik.
Dalam konteks ini, George Herbert Mead yang mengemukakan teori interaksi simbolik menjelaskan bahawa manusia menggunakan simbol untuk memberi makna kepada pengalaman seharian kita.
Tanpa simbol, apa yang dialami sukar untuk diertikan. Mead dalam bukunya Mind, Self and Society menjelaskan bahawa simbol menjadi perantara yang membentuk pengalaman seharian.
Ertinya, simbol menstrukturkan apa yang kita persepsikan dan memudahkan pentafsiran apa sahaja yang berlaku.
Koleksi simbol yang kita kutip dijadikan skema dan ini mempercepatkan tafsiran kita tentang persekitaran sekeliling.
Orang politik sedar bahawa orang ramai menggunakan simbol untuk menapis semua pengalaman seharian. Kita mempelajari makna semua simbol.
Kita tidak dilahirkan dengan pengetahuan terhadap simbol-simbol ini.
Namun kita dianugerahkan dengan minda yang berkemampuan untuk mempelajari dan memberi makna kepada sesuatu simbol.
Dalam konteks ini, rakyat Amerika Syarikat dikejutkan dengan pendedahan Biden dan penasihatnya bahawa pentadbiran lama tidak mempunyai pelan bagi pengedaran vaksin.
Penasihat Biden membayangkan bahawa pentadbiran sebelum ini tidak menyediakan rancangan pengedaran vaksin khusus.
Mereka terpaksa memulakannya dari bawah. Penyelaras Covid Rumah Putih, Jeff Zients menghuraikan bahawa strategi Biden berbeza daripada Trump.
Zients dilaporkan berkata, “sudah setahun berlalu, rakyat Amerika tidak mendapat petunjuk tentang strategi kerajaan pusat untuk menangani Covid-19.
Kalau strategi tidak ada, apatah lagi pelan tindakan menyeluruh tentang Covid.
Kita dapat melihat kesan tragik daripada kegagalan ini.”
Biden menandatangani arahan yang mengarahkan pelitup muka wajib digunakan di semua bangunan kerajaan.
Strategi serampang tiga mata Biden untuk melawan Covid-19 ialah mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan memberi suntikan vaksin.
Orang politik tidak dapat mengelakkan diri daripada menggunakan simbol.
Simbol menjadi lebih bermakna apabila makna yang tersurat seperti dalam kamus dijalinkan dengan makna tersirat.
Kita tahu makna tersurat “kleptokrat”? Siapakah yang dikaitkan dengan simbol ini? Penggunaan berulang kali menyebabkan yang tersurat terjalin dengan yang tersirat sehingga sukar dipisahkan makna perlambangan ini.
Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru