Menurut portal rujukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antioksida ialah bahan yang mengurangkan, meneutralkan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Apakah maksud radikal bebas? Radikal bebas merupakan bahan reaktif yang terhasil daripada proses kimia di dalam badan.
Bahan ini boleh memudaratkan serta merosakkan sel dan tisu badan.
Radikal bebas memberi kesan negatif kepada tubuh badan dan sering kali dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit, termasuk kencing manis, penyakit jantung dan kanser.
Tubuh badan kita mampu menghasilkan antioksida secukupnya sebagai barisan pertahanan sesetengah penyakit akibat daripada kesan buruk radikal bebas.
Namun, apabila usia semakin meningkat, keupayaan badan menghasilkan antioksida semakin berkurangan.
Antioksida juga dapat dihasilkan daripada sumber makanan harian kita, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan makanan lain yang berasaskan tumbuh-tumbuhan.
Sesetengah vitamin seperti vitamin E dan C antara jenis antioksida yang sangat efektif melawan radikal bebas.
FUNGSI RADIKAL BEBAS
Radikal bebas sentiasa dihasilkan secara berterusan oleh badan kita.
Tanpa antioksida, radikal bebas boleh mendatangkan mudarat yang serius terhadap tubuh badan sehingga boleh menyebabkan kematian.
Bagaimanapun, radikal bebas juga mempunyai fungsi yang penting ke atas kesihatan tubuh badan secara amnya.
Contohnya, sistem imun badan menggunakan radikal bebas untuk melawan jangkitan penyebab penyakit.
Oleh itu, badan kita memerlukan keseimbangan di antara jumlah radikal bebas dan jumlah antioksida.
Apabila radikal bebas lebih banyak daripada bilangan antioksida, tekanan oksidatif akan terjadi.
Tekanan oksidatif yang berpanjangan boleh merosakkan DNA badan dan molekul penting di dalam badan. Perkara ini juga boleh menyebabkan kematian sel badan.
Kerosakan DNA meningkatkan risiko penyakit kanser dan terdapat teori yang diusulkan oleh para saintis bahawa kerosakan DNA memainkan peranan utama dalam proses penuaan.
Penghasilan berlebihan radikal bebas dan tekanan oksidatif adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
Gaya hidup yang tidak sihat, stres, dan faktor persekitaran adalah antara punca yang menyebabkan perkara ini terjadi.
Kajian ilmiah dan kajian klinikal dilakukan oleh saintis untuk mengkaji lebih mendalam berkaita radikal bebas.
Mereka mendapati penyebab terhasilnya radikal bebas secara berlebihan dalam badan kerana terdedah dengan pencemaran udara, menghidu asap rokok, mengambil minuman keras, tinggi kadar toksin, tinggi paras gula, tinggi kadar asid lemak tak tepu di dalam badan, terdedah kepada cahaya matahari secara berpanjangan, dan adanya jangkitan daripada bakteria, kulat atau virus.
Pengambilan berlebihan zat besi, magnesium, kurang oksigen atau terlebih oksigen dalam tubuh juga antara penyebab terhasilnya radikal bebas dalam badan.
Senaman berat yang terlalu lama juga boleh menyebabkan kerosakan tisu badan.
Pengambilan vitamin C dan E secara berlebihan juga hendaklah dielak demi memastikan keseimbangan radikal bebas dan antioksida di dalam tubuh.
Ini untuk mengurangkan kesan tekanan oksidatif terhadap tubuh kita.
ANTIOKSIDA DARIPADA MAKANAN
Antioksida ialah bahan yang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Badan kita menghasilkan antioksida yang juga dikenali sebagai glutation antioksida selular.
Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan semua hidupan mempunyai benteng pertahanan masing-masing untuk melawan radikal bebas dan mengurangkan kerosakan oksidatif.
Oleh itu, antioksida boleh didapati dari sumber tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan.
Pengambilan antioksida secukupnya penting.
Kelebihan pengambilan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan sering kali dicadangkan oleh pakar pemakanan.
Ini kerana, tumbuh-tumbuhan kaya dengan pelbagai jenis antioksida seperti flavonoid dan vitamin C.
Buah beri, teh hijau, kopi, dan coklat gelap yang juga dikenali sebagai coklat kosong adalah antara jenis makanan popular dengan khasiat antioksida.
Kajian mendapati antara sumber antioksida utama dalam diet harian adalah daripada minuman kopi, buat penggemar kopi terutamanya.
Makanan dari daging haiwan dan ikan juga mengandungi antioksida tapi tidak sebanyak kandungan antioksida buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antioksida juga dapat menjadikan makanan yang diproses lebih tahan lama.
Oleh itu, antioksida selalu digunakan sebagai bahan tambahan makanan.
Contohnya, vitamin C sering digunakan sebagai bahan pengawet untuk makanan yang diproses.
DIET PELANGI
Pakar pemakanan mengesyorkan pengambilan “diet pelangi” untuk memastikan keperluan nutrien badan dapat dipenuhi.
Diet pelangi bermaksud pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna-warni.
Contohnya, warna hijau seperti bayam, merah untuk tomato, jingga untuk buah oren, dan kuning seperti pisang.
Diet ini dapat memenuhi keperluan tubuh dengan pelbagai jenis vitamin, nutrien dan semestinya, antioksida.
Pengambilan satu jenis antioksida sahaja tidak dapat melawan radikal bebas dengan berkesan. Oleh itu, pengambilan diet seimbang dan beraneka amat penting untuk kekal sihat sepenuhnya.
Setiap jenis antioksida mempunyai fungsi berlainan.
Oleh itu, kesan optimum pengambilan makanan yang kaya kandungan antioksida hanya dapat dicapai jika diet tersebut dipelbagaikan dan tidak bergantung kepada satu jenis makanan.
Pengambilan suplemen tambahan antioksida tidak digalakkan.
Ini kerana banyak penemuan kes kajian klinikal mendapati pengambilan suplemen tambahan antioksida menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser kulit, paru-paru dan prostat.
Langkah terbaik untuk mendapatkan kebaikan antioksida adalah dengan mengamalkan pemakanan secara langsung dari buah-buahan dan sayur-sayuran segar.