KUCHING: Sebanyak sembilan anugerah berprestij dipertandingkan pada Anugerah Seni Budaya Sarawak (ASBS) 2023 yang dibuka sejak 1 September lalu sehingga 1 Oktober depan.
Ia termasuk satu kategori khusus kepada pengamal media, iaitu Anugerah Pendukung Seni 2023 kategori media yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000.
Selain itu terdapat dua anugerah khas yang tidak dipertandingkan iaitu Anugerah Nilakandi Seni Sarawak 2023 kepada Tokoh Lagenda Seni dan Anugerah Sri Apresiasi Seni Sarawak 2023 kepada Tokoh Perpaduan.
ASBS 2023 merupakan anugerah berprestij yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
Ia bagi menghargai penggiat seni budaya yang aktif dan konsisten mencapai kecemerlangan dalam bidang seni dan budaya iaitu seni tari, muzik, teater, berbahasa, mempertahankan diri dan permainan tradisional di Sarawak.
Anugerah utama yang dipertandingkan dengan menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 ialah Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2023.
Anugerah mengikut bidang seni dan budaya pula merangkumi Anugerah Seni Tari 2023, Anugerah Seni Muzik 2023, Anugerah Seni Teater 2023, Anugerah Seni Berbahasa 2023, Anugerah Seni Mempertahankan Diri 2023 dan Anugerah Permainan Tradisional 2023.
Untuk Anugerah Pendukung Seni selain kategori media, disediakan juga kategori badan bukan kerajaan (NGO).
Sehubungan itu bagi yang berminat, borang pencalonan boleh didapati di JKKN Sarawak, Tingkat Lima, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di Kuching.
Atau mengimbas kod QR pada poster untuk memuat turun borang serta syarat pencalonan atau melalui pautan di sini, https://drive.google.com/file/d/1C6r1C3ETc4ScybOSf_ypeBv5UVQsbp7g/view?usp=sharing
Borang pencalonan yang lengkap perlu dikembalikan kepada urus setia berserta Curriculum Vitae ke alamat Urus Setia Anugerah Seni Budaya Sarawak 2023, Pejabat JKKN Sarawak sebelum tarikh tutup 1 Oktober.