ARTIKEL

Anwar (empat kanan) menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 yang diketuai Uggah (tiga kiri) dan turut dihadiri Abang Johari (dua kanan). - Foto: Pejabat Premier Sarawak

Anwar diundang sertai Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 pada 22 Jun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diundang untuk menyertai Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024 pada 22 Jun akan datang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Jemputan itu disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mengetuai rombongan Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Anwar di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024, majlis tersebut akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaid Tuanku Jaafar, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya lagi, majlis makan malam itu juga akan menghimpunkan rakyat Sarawak dari pelbagai latar belakang sebagai simbol kepada semangat perpaduan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut memohon peruntukan RM1 juta daripada Perdana Menteri untuk membantu menampung kos keseluruhan penganjuran Gawai Dayak 2024.

Selain Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2024, Uggah berkata, beberapa aktiviti turut diadakan, seperti Bazar Gawai Dayak 2024 yang berakhir semalam di MJC Batu Kawa.

“Objektif utama Bazar Gawai adalah untuk menyediakan platform bagi komuniti menjual produk mereka dan berhubung sesama komuniti lain di Sarawak untuk terlibat dalam keusahawanan yang menjana pendapatan.

“Sambil menekankan budaya dan aktiviti ekonomi mereka, tumpuan juga adalah untuk mewujudkan pendapatan keluarga yang mampan,” katanya.

Selain itu, Uggah memaklumkan bahawa Karnival Gawai Dayak 2024 di Siburan akan berlangsung pada 6 Jun hingga 8 Jun.

Jelasnya, Karnival Gawai itu bertujuan untuk mempromosikan perayaan Gawai kepada generasi muda bagi memastikan kelestarian tradisi tersebut.

Selain menyediakan platform untuk perayaan komuniti, tambahnya, ia juga menawarkan peluang pendidikan, latihan dan keusahawanan dalam komuniti.

Antara aktiviti lain yang akan dianjurkan adalah Perarakan Budaya Gawai Dayak 2024 di Tebingan Kuching pada 15 Jun.

Uggah berkata, perarakan itu akan diadakan di sepanjang bangunan Tun Jugah hingga ke Tebingan Kuching.

“Perarakan itu akan mempamerkan kemeriahan budaya Dayak, dengan jemputan kepada penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa untuk meraikan mozek budaya Sarawak.

“Ia bertujuan untuk memupuk perpaduan merentasi pelbagai lapisan sosial dan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata, penerbitan eBuku dan buku meja kopi, Brosur Pelancongan dan Jerayawara Gawai sedang diusahakan.

Di bawah aktiviti ini, katanya, ahli jawatankuasa turut mengemukakan dokumentasi mengenai Gawai yang diraikan oleh kumpulan Dayak, iaitu Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

“Brosur Pelancongan juga sedang dibangunkan dan pelbagai aktiviti promosi dilakukan di dalam dan luar negara dalam usaha mewujudkan kesedaran dan menarik pelancong ke Sarawak khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU