ARTIKEL

Anwar Ibrahim: Dangkal ilmu mudah dihasut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TANJUNG MALIM: Kejahilan atau kedangkalan ilmu terutama dalam kalangan generasi muda memungkinkan mereka dihasut dengan mudah oleh pihak-pihak tertentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dengan ilmu yang terhad, individu akan menerima apa-apa sahaja pandangan dibawa oleh pihak-pihak tertentu seterusnya terperangkap dalam pemikiran jumud itu.
“(Bila) Ilmu kita sedikit, orang kata kalau tidak buat ini masuk neraka, kita pun tanya betul ke?
Kerana ilmu kita terlalu dangkal, mahu menyoal tambah tak berani, jadi akhirnya kita terperangkap dalam pemikiran kolot dan jumud serta menghukum orang lain secara semberono,” kata beliau ketika berucap merasmikan Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Abdul Latiff Abu Bakar turut hadir.

Beliau berucap di hadapan kirakira 5,000 mahasiswa UPSI yang turut menghadiri majlis tersebut.
Anwar berkata, untuk menambah ilmu pengetahuan terutama dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda, mereka harus menyemai tabiat membaca buku-buku bagi meningkatkan dan menguasai ilmu termasuk perkembangan ilmu baharu.

“Baliklah dengan pesanan ini, budaya kita budaya Melayu itu sendiri tamadun kita hanya berkembang dengan kekuatan ilmu.

“Mahu maju, mahu jadikan negara ini negara MADANI, tingkatkan ilmu, bersaing dengan negara lain, dengan semangat membaca untuk menambah ilmu Malaysia akan berubah wajah sebagai negara hebat,” katanya.
Anwar turut berkata, budaya generasi masa kini yang mudah terpukau dengan kupasan idea secara ringkas dan tidak lengkap di media sosial membimbangkan.

Beliau berkata, sesuatu idea atau isu seperti ekonomi, dasar-dasar negara, idealisme perjuangan perlu dikupas secara mendalam dan memerlukan banyak pandangan kompleks untuk dirumuskan mengambil kira konsep Al-Kuliyah.

“Konsep kuliyah itu iaitu perlu ilmu perlu dikuasai sedalam dan seluasnya, bukan hanya kupasan beberapa minit dalam media sosial dan dirumuskan dalam satu tazkirah dalam Tik Tok yang selama seminit dua sahaja,” katanya.

Justeru kata beliau, menjadi cabaran anak-anak muda masa kini untuk menggali lebih banyak ilmu dan pengetahuan bagi merumuskan sesuatu idea bukan menerimanya secara bulat-bulat sahaja.
Beliau turut menyentuh mengenai generasi terdahulu yang juga perlu terus dan tidak berhenti membaca mengenai ilmu baharu seiring perkembangan teknologi masa kini termasuk mengenai kecerdasan buatan.

Sementara itu dalam majlis sama, Anwar meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara.

LAIN-LAIN BERITA

Mesyuarat mingguan hingga 20 Mac selesai isu padi, beras

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

BERITA TERBARU