ARTIKEL

Anwar Ibrahim: Hubungan Malaysia-China baik, tiada isu serius

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BERLIN: Malaysia telah memberi jaminan kepada Jerman bahawa hubungannya dengan China adalah baik dan tidak berdepan dengan sebarang isu yang serius.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang kecil namun ia berhak menjalin hubungan dengan banyak negara bagi memastikan rakyatnya mendapat manfaat daripada kerjasama itu.

“Saya amat kagum dengan keikhlasan dan pemahaman anda termasuk mengenai apa yang berlaku di Malaysia serta rantau ini,” kata beliau pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Jerman Olaf Scholz.

Meskipun Malaysia mengakui pengaruh China yang semakin berkembang serta kesannya terhadap dinamik serantau, Anwar berkata komitmen negara untuk mengekalkan hubungan baik dengan China dan pada masa yang sama melindungi kedaulatan serta kepentingannya sendiri juga adalah penting.

Semasa mesyuarat dua hala dengan Scholz, Anwar berkata beliau telah memaklumkan bahawa China adalah rakan perdagangan utama Malaysia di peringkat global dan kedua-dua negara meraikan sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik tahun ini, yang merupakan satu pencapaian bersejarah bagi mereka.

Anwar juga berkata beliau menekankan kepentingan penglibatan secara konstruktif dan dialog bagi menangani sebarang cabaran yang timbul daripada pengaruh China di rantau ini termasuk isu membabitkan Laut China Selatan.

Mengenai krisis di Ukraine, Perdana Menteri berkata kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Rusia perlu menghentikan pencerobohan di sana dan mencari penyelesaian secara aman dalam konflik itu.

“Ia mempunyai kesan dari segi perdagangan dan pembangunan ekonomi malah natijahnya dapat dirasai sehingga ke Asia,” kata beliau.– BERNAMA

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)