Anyaman tikar tawan kraf dunia

KUCHING: Dua artis Bidayuh berjaya merangkul Anugerah Kraf Cemerlang semasa Majlis Perhimpunan Dewan Kraf Dunia Asia Pasifik ke-39 secara dalam talian di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini. Abot Gudang dan Sandra Trinata yang mengetengahkan kraf tangan anyaman tikar bertemakan The Glow Tree of Life berjaya merangkul anugerah kraf terbaik dalam majlis tersebut.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Abot satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima anugerah tersebut.

“Daripada 50 penyertaan pelbagai negara Asia Pasifik, hanya 18 orang yang menerima Anugerah Kraf Terbaik.

“Saya amat bangga dengan beliau. Walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, beliau terus komited menghasilkan karya-karya yang menarik dengan kerjasama penenun tikar kelasah dari Serikin yang diketuai oleh Sandra Trinata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Majlis Perhimpunan Dewan Kraf Dunia Asia Pasifik ke-39 di Dewan Kraf Sarawak, semalam.

Tambah Abdul Karim, sejak Covid-19 melanda dunia, para seniman berjaya menyesuaikan diri dengan pameran dalam talian apabila mengambil bahagian di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, usaha itu dapat memberi pendedahan kepada pelancong asing tentang kekayaan dan kepelbagaian seni di Sarawak, sekali gus menjadi tarikan pelawat pada masa akan datang.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Hii Chang Kee dan Penasihat Persatuan Atelier Sarawak Dayang Mariani antara yang turut hadir.

Suara Sarawak