Apa motif Kerajaan Persekutuan?

PELANTIKAN Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baharu, yang pertama kali bukan orang Sarawak mengejutkan ramai pihak. Ia sekali gus menimbulkan perdebatan kerana sebelum ini, pelantikan adalah melibatkan orang Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan berunding dengan Kerajaan Sarawak.

Sebaliknya, pelantikan baharu ini telah dilakukan secara tibatiba kerana tempoh perkhidmatan Pengerusi Unimas sedia ada, Tan Sri Datuk Panglima Sulong Matjeraie belum tamat sehingga 30 April 2021. Persoalannya apakah tindakan Kerajaan Persekutuan itu yang jelas menafikan kepentingan anak Sarawak dalam pelantikan berkenaan? Anak Sarawak bukannya tidak ada bakat.

Jadi kenapa Kerajaan Persekutuan melantik orang Semenanjung Malaysia? Apakah sebabnya untuk menggantikan pengerusi semasa dalam keadaan tergesa-gesa? Adakah kepentingan anak Sarawak khususnya keutamaan untuk memasuki Unimas kekal selepas tiada seorang pun orang Sarawak yang mengambil alih jawatan ini.

Adalah penting bagi Kerajaan Persekutuan memahami bahawa ketika ini rakyat Sarawak amat mengharapkan autonomi dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan. Dan insiden ini turut mengganggu mereka, apatah lagi dengan pelbagai “aksi bertentangan” lain terhadap Sarawak yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

Sebagai contoh, sebulan selepas Kerajaan PH mengambil alih Putrajaya, Petronas memfailkan cabaran undang-undang terhadap Kerajaan Sarawak atas hak mengawal aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

Tidak lama selepas itu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Borneo akan dipindahkan dari Kuching ke Kota Kinabalu tanpa perundingan dengan Kerajaan Sarawak.

Dan 1 Januari lalu, pengerusi satu-satunya universiti awam di Sarawak akan digantikan oleh seorang berlatar belakang politik, iaitu bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Sri Kamal Mat Salleh. Dalam kes Unimas, tradisi pelantikan Pengerusi adalah daripada orang Sarawak sendiri.

Pengerusi pertama ialah Tan Sri Bujang Nor, dengan latar belakang korporat dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak. Pengerusi kedua ialah Datuk Dr Hatta Solhi, bekas Timbalan SUK Sarawak.

Malah Pengerusi ketiga, Tan Sri Sulong Matjeraie berlatarbelakangkan Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara. Pada Januari 2016, bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem mengumumkan 13 penurunan kuasa pentadbiran daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.

Salah satunya adalah lebih ramai rakyat Sarawak akan diberi peluang untuk memasuki program pengajian dasar di Unimas.

Sehubungan itu, langkah Kerajaan Persekutuan melantik Kamal sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Unimas adalah bertentangan dengan penurunan kuasa kepada Sarawak ini dan bercanggah sama sekali dengan semangat MA63.

Apakah sebenarnya yang hendak dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelantikan tergesa-gesa ini? Apa-apa pun, Kamal sendiri memiliki hati besar dan tidak buta hati kepada situasi yang berlaku.

Beliau mengumumkan pengundurannya semalam, setelah menyedari sentimen yang berlaku. Rakyat Sarawak amat menghargai pengorbanan dan sensitiviti yang ditunjukkan beliau ini. Terima kasih Tan Sri.

Suara Sarawak