BINTANGOR: Kepantasan pasukan Bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dalam kebakaran belukar di Taman Bintang, semalam.
Api yang merebak pantas dalam kejadian kira-kira jam 7.00 malam itu menyebabkan penduduk panik apabila kebakaran nyaris meranapkan beberapa buah bangunan berhampiran.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Firdaus, 40, berkata, ketika sedang berehat di ruang tamu dia terhidu bau asap sebelum jiran datang memberitahu, belukar yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah mereka sedang terbakar.
“Saya bergegas keluar dan terkejut melihat api sedang marak. Bahang api terasa pantas. Bagaimana pun, saya menarik nafas lega apabila melihat kehadiran Bomba tidak lama kemudian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.18 malam.
“Kami tiba dilokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari Balai Bomba Bintangor itu kira-kira enam minit kemudian. Bomba menggunakan satu aliran salur bantu dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7.51 malam.
“Kita juga melakukan pemadaman susulan bagi mengelak kebakaran berulang. Kejadian ini tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.