KEBAKARAN hutan di Kalimantan. Dan kebakaran hutan di Algeria. Kebakaran ini berlaku ribuan kilometer antara satu sama lain.
Namun, kedua-duanya memperlihatkan satu hakikat yang sukar dinafikan; kebakaran besar hari ini bukan semata-mata berpunca daripada api.
Kebakaran boleh lahir daripada pertembungan antara tindakan manusia, perubahan iklim, keadaan geografi dengan cuaca ekstrem yang saling memperkuat.
Di Kalimantan, persoalannya bermula dengan cara manusia membuka tanah.
Kaedah tebang dan bakar dipilih kerana lebih murah dan pantas berbanding penggunaan jentera berat untuk membersihkan kawasan hutan bagi pertanian, perladangan atau pembangunan.
Masalahnya, api yang dinyalakan manusia tidak pernah benar-benar tunduk kepada kehendak manusia.
Selepas api dilepaskan, angin, kelembapan, jenis tanah dan keadaan tumbuhan menentukan ke mana ia harus bergerak.
Di sinilah tanah gambut menjadi faktor yang amat berbahaya. Gambut bukan tanah biasa, ia terbentuk daripada bahan organik yang terkumpul selama ribuan tahun dan belum reput sepenuhnya.
Apabila kering, bahan organik itu berubah menjadi bahan bakar yang sangat mudah terbakar. Lebih membimbangkan, api boleh bergerak bukan sahaja di permukaan tetapi juga di bawah tanah.
PENCETUS
Sebab itu, memadamkan api di permukaan tidak semestinya bermaksud kebakaran sudah berakhir. Keadaan menjadi jauh lebih buruk apabila cuaca kering berpanjangan. Fenomena seperti El Niño boleh mengurangkan hujan dan meningkatkan suhu, menjadikan tumbuh-tumbuhan serta tanah lebih kering. Dalam keadaan sedemikian, perubahan cuaca bertindak sebagai pencetus kebakaran yang asalnya dimulakan oleh manusia.
Menyalahkan cuaca sematamata analisis yang terlalu mudah. Cuaca mungkin menyebabkan kebakaran, tetapi manusia sering menyediakan bahan bakarnya.
Jika hutan tidak dibakar secara terbuka, risiko kebakaran besar mungkin dapat dikurangkan walaupun cuaca kering berlaku. Sebaliknya, apabila kawasan hutan dan gambut sudah dibuka, dikeringkan dan dibakar, satu percikan kecil boleh berkembang menjadi krisis yang jauh lebih besar.
Angin pula menjadikan masalah itu merentas sempadan. Bara dan zarah halus boleh dibawa jauh daripada lokasi asal kebakaran. Asap dari Kalimantan tidak memerlukan pasport untuk memasuki Sarawak.
KRISIS
Apabila corak angin bergerak dari Kalimantan ke Borneo bahagian Malaysia, kesan kebakaran di satu negara boleh dirasakan oleh penduduk di negara lain melalui kemerosotan kualiti udara.
Sebab itu, jerebu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu alam sekitar sebuah negeri atau negara. Ia juga merupakan isu kesihatan awam, ekonomi, keselamatan pengangkutan dan hubungan serantau.
Pola hampir sama ini dapat dilihat berlaku di Algeria. Algeria tidak berdepan isu El Niño seperti yang berlaku di Asia Tenggara, tetapi kawasan utaranya turut berdepan kebakaran hutan yang dipengaruhi oleh gelombang haba, kekeringan dan keadaan muka bumi.
Ini menunjukkan kita tidak boleh menggunakan satu penjelasan untuk semua jenis kebakaran besar yang berlaku di dunia.
Istilah yang lebih tepat ialah krisis kebakaran ini dipacu oleh pelbagai faktor.
Gelombang haba menyebabkan tumbuh-tumbuhan kehilangan kelembapan.
Udara panas dan kering pula meningkatkan keupayaan api merebak.
Kawasan berbukit menambahkan lagi cabaran kerana api cenderung bergerak pantas menaiki cerun.
Apabila tumbuhan di bahagian atas sudah kering akibat haba, api mendapat bahan bakar baharu sebelum sampai ke kawasan tersebut. Kita berdepan satu kitaran berbahaya; haba mengeringkan tumbuhan, tumbuhan kering menjadi bahan bakar, api menghasilkan lebih banyak haba, dan keadaan yang semakin panas memudahkan api merebak.
EKSTREM
Justeru, kebakaran besar kemungkinan menjadi semakin sukar dianggap sebagai kejadian luar biasa.
Dengan peningkatan suhu global, tempoh kering yang lebih panjang dan gelombang haba yang semakin ekstrem, musim kebakaran boleh menjadi lebih panjang dan lebih sukar diramal. ‘
Kawasan yang sebelum ini dianggap berisiko sederhana juga berpotensi memasuki zon bahaya. Lebih penting, sempadan politik tidak mengubah arah angin.
Sarawak tidak boleh hanya menunggu jerebu tiba sebelum bertindak. Indonesia, Malaysia dan negara Asean perlu melihat kebakaran hutan sebagai isu keselamatan serantau, termasuk perkongsian data titik panas, pemantauan angin, pengurusan tanah gambut, pencegahan pembakaran terbuka dan tindakan lebih tegas terhadap aktiviti yang mencetuskan kebakaran.
Persoalan kini ialah mengapa keadaan membolehkan satu pembakaran kecil berubah menjadi bencana besar?
Ternyata ia terletak pada faktor gabungan manusia, iklim dan geografi.
Apabila ketiga-tiganya faktor ini bertemu dalam keadaan yang salah, api tidak lagi menjadi masalah sebuah kampung, sebuah negeri atau sebuah negara. Api pasti menjadi masalah kita semua.



