PADA tahun 1997, ketika jerebu di Sarawak mencecah indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 650, perintah “darurat” diisytiharkan di seluruh negeri.
Puncanya?
Sama seperti sekarang — pembakaran terbuka berlaku di negara jiran kerana aktiviti pertanian, kemudian dihambat cuaca panas El-Nino.
Penulis masih wartawan muda pada waktu itu, dan akan sentiasa mengingati detik hitam itu, kerana ia mengorbankan guru Bahasa Melayu sewaktu penulis berada di tingkatan enam SMB St Thomas, Kuching,
Cikgu Kartini.
Beliau meninggal dunia kerana asma, dipercayai sukar bernafas akibat jerebu teruk dan panas.
Dan ketika itu, bukan hanya Sarawak yang terkena bahana tersebut, beberapa negeri di Semenanjung turut menerima nasib sama.
Jarak penglihatan pada waktu itu cukup terbatas (mungkin kurang 50 meter pada waktu kemuncaknya), dan penulis masih ingat, Editor Eksekutif kami di Utusan Sarawak, Jeniri Amir (kini Datuk Dr) membebel kerana sukar memandu pada jam 4.00 pagi untuk ke lapangan terbang.
Puncanya, jarak penglihatan terlalu kabur.
Hampir 29 tahun berlalu, musibah ini kini berulang atas alasan yang sama.
Cuma kita berdoa keadaannya tidaklah seburuk waktu itu.
Minggu lalu, penulis berkunjung ke Kalimantan Barat untuk melihat dan merasai sendiri apa yang berlaku.
Ia kunjungan kedua dalam tempoh dua minggu untuk meninjau dan merasai sendiri apa yang terjadi sehingga jerebu merentas sempadan dan Sarawak terpaksa membatalkan semua aktiviti rasmi di luar. Suasana di Kalimantan tidak ubah seperti di Sarawak.
“Kabut asap” menyelimuti seluruh kawasan.
Pun begitu, hanya beberapa kawasan tertentu yang berhadapan situasi “berbahaya” seperti di Kota Pontianak — yang tampak berasap sehingga pesawat tidak dapat mendarat di bandara ataupun lapangan terbang.
Semuanya berpunca daripada “karhutla” atau kebakaran hutan dan lahan.
Terkini, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) pada 30 Ogos, mencerap sebanyak 7,374 titik panas di wilayah Kalimantan Barat.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 466 titik mempunyai tahap tinggi, 6,828 titik mempunyai tahap sederhana, dan hanya 80 titik di tahap rendah.
Data tersebut merupakan hasil pengesanan sensor VIIRS dan MODIS pada satelit NOAA-20, S-NPP, Terra dan Aqua.
Kabupaten Ketapang menjadi kawasan dengan jumlah titik panas tahap tinggi paling banyak, iaitu sebanyak 199 titik, diikuti Melawi 84 titik, Kubu Raya 54 titik, Kayong Utara 50 titik, Kapuas Hulu 22 titik, Sintang 18 titik dan Mempawah 15 titik.
Titik panas tahap tinggi turut dikesan di Kota Singkawang sebanyak tujuh titik, Sanggau dan Landak masingmasing lima titik, Sekadau empat titik, Bengkayang dua titik, serta Sambas satu titik. Keadaan tersebut bertambah buruk kerana masih belum berlaku hujan di wilayah Kalimantan Barat.
Berdasarkan pemprosesan data GSMaP yang dikemas kini pada 30 Ogos 2026, tiada hujan daripada kategori ringan hingga ekstrem direkodkan di wilayah Kalimantan Barat.
Pemerhatian BMKG pada 30 dan 31 Ogos pula menunjukkan jarak penglihatan kurang daripada satu kilometer di Mempawah, Pontianak, Melawi, Sambas, Ketapang dan Kubu Raya. Kepekatan zarah halus PM2.5 di beberapa kawasan turut berada pada tahap membimbangkan.
Di Kecamatan Sungai Raya, Kabupaten Kubu Raya, kepekatan maksimum harian PM2.5 mencapai 843.2 mikrogram per meter padu (µg/m³), iaitu dalam kategori berbahaya.
Purata hariannya pula mencapai 349.3 µg/m³ dan turut berada dalam kategori berbahaya.
Justeru itu tidak hairanlah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan Kerajaan Kalimantan Barat supaya segera memansuhkan Perda Nombor 1 Tahun 2022 yang membenarkan pembukaan tanah dengan cara membakar.
Arahan tegas itu disampaikan oleh Gabenor Kalimantan Barat, Ria Norsan, selepas menerima arahan secara langsung daripada Presiden ketika meninjau usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Kubu Raya pada 22 Ogos lalu.
“Pak Mendagri sudah menyampaikan kepada saya bahawa arahan beliau (Presiden Prabowo) ialah Perda Nombor 1 Tahun 2022 mesti segera dimansuhkan,” ujar Norsan.
Pemansuhan tersebut dianggap mendesak kerana kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat telah mencapai status darurat.
Jerebu akibat kebakaran turut dirasai secara meluas oleh masyarakat serta menjejaskan sektor perniagaan. Namun arahan ini dibantah rakyat, terutamanya petani dalam kalangan Dayak — yang beranggapan membakar lahan adalah sebahagian daripada adat mereka bertani.
Perda tersebut asalnya diwujudkan untuk mengawal pembakaran tanah secara terhad, iaitu maksimum dua hektar bagi setiap ketua keluarga; hanya untuk tanaman varieti tempatan dan wajib menggunakan sistem sekatan api bagi mencegah api daripada merebak.
Arahan tersebut juga disanggah oleh bekas Gabenor Kalimantan Barat bagi tempoh 2018–2023, Sutarmidji.
Perda atau Peraturan Daerah Kalimantan Barat Nombor 1 Tahun 2022 tentang Pembukaan Tanah Perladangan Berasaskan Kearifan Tempatan mula berkuat kuasa pada 30 Mei 2022, ketika beliau masih menjadi Gabenor .
Menurut beliau, perda tersebut bukanlah sumber peruntukan mengenai pembakaran tanah dengan keluasan maksimum dua hektar, sebaliknya merupakan peraturan negeri yang mengawal tatacara pelaksanaannya.
Perda mengatur tentang tatacara membakar tanah seluas dua hektar.
Yang membenarkan pembakaran sehingga dua hektar itu ialah Undang-Undang Alam Sekitar, kata Sutarmidji pada 23 Ogos.
Sutarmidji menambah, peruntukan mengenai pembukaan tanah dengan mengambil kira kearifan tempatan telah pun termaktub dalam Undang-Undang Nombor 32 Tahun 2009 tentang Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar.
Perkara 69 ayat (1)(h) pada asasnya melarang pembukaan tanah dengan cara membakar.
Namun, Perkara 69 ayat (2) menetapkan pengecualian dengan mengambil kira kearifan tempatan di sesuatu kawasan
Dalam penjelasannya, dinyatakan bahawa pembakaran tanah dibenarkan sehingga maksimum dua hektar bagi setiap ketua keluarga untuk varieti tanaman tempatan dan kawasan tersebut mesti dikelilingi oleh sekatan api.
“Jadi, yang membenarkan pembakaran itu ialah UndangUndang Nombor 32 Tahun 2009,” tegasnya.
Oleh itu, Sutarmidji berpendapat bahawa pemansuhan Perda Nombor 1 Tahun 2022 tidak secara automatik menghapuskan peruntukan mengenai kearifan tempatan selagi peraturan dalam Undang-Undang Nombor 32 Tahun 2009 masih berkuat kuasa.
Menurut Sutarmidji,Perda Nombor 1 Tahun 2022 sebenarnya diwujudkan untuk memberikan tatacara yang lebih jelas kepada masyarakat dalam melaksanakan pembukaan tanah berasaskan kearifan tempatan.
“Jangan salahkan perda. Perda apa kaitannya dengan kebakaran tanah?
Perda itu sebenarnya mengatur pembakaran tanah seluas dua hektar yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya. Pandangan tersebut meletakkan perda sebagai peraturan teknikal di peringkat negeri.
Oleh itu, menurut Sutarmidji, isu kebakaran hutan dan tanah tidak sepatutnya hanya dikaitkan dengan kewujudan peraturan tersebut. Yang pasti, masyarakat petani di Kalimantan Barat tetap tidak bersetuju dengan usul Presiden Probowo.
Bagi mereka ia adalah kaedah tradisi yang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup, apatah lagi mereka mengamalkan pertanian pindah — dengan setiap tahun, selama lima tahun mereka mengusahakan lahan baharu, sementara menunggu lahan lama membesar.
Justeru selama itu mereka mahu membakar tanah, yang disifatkan lebih murah, mudah dan efektif — memandangkan api membunuh sehingga ke akar pokok, membolehkan tanah kemudian menjadi subur.
Tetapi di Sarawak, sampai bila kita perlu mengalami pedih mata, sukar bernafas dan menghidu bau terbakar akibat perbuatan saudara serumpun ini?
Bantahan Sarawak dan Malaysia ada wajarnya, kerana yang menerima asap itu adalah wilayah ini dan penduduknya.
Ekonomi negeri juga terjejas akibat pembakaran disengaja ini — baik dari segi perniagaan mahupun pelancongan.
Benarlah, angin yang bertiup itu adalah kuasa Tuhan, namun yang membakar itu adalah tangan manusia. Justeru, kita memohon kepada negara jiran, agar apa yang dilaksanakan berdekad lalu dalam mengawal kabut asap ini dikembalikan.
Kerajaan Indonesia dan Kalimantan Barat perlu bertegas dan bertindak bijak, kerana episod pembakaran ini sudah dijangka.
Dan fenomena Super El-Nino ini juga sudah diramal awal. Justeru harus ada usaha awal merancang dan mengawal pembakaran ini, agar tidak mencetuskan api besarbesaran, yang asapnya disedut rakyat negara lain.
Kini empat stesen di Sarawak sudah bertanda merah dan berada di tahap bahaya.
Malah ada yang berada di ambang darurat.
Justeru perlu ada tindakan sepakat untuk segera menanganinya.
Benar, angin tidak dapat disekat, tetapi asap dapat dibendung.
Kita berdoa agar musibah ini tidak mengulangi cerita 1997.


