ARTIKEL

Bot yang membawa rokok dan minuman keras pelbagai jenama ditahan di perairan Lawas hari ini.

APMM Miri gagalkan cubaan seludup rokok, minuman keras

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebuah bot pancung yang membawa rokok dan minuman keras pelbagai jenama ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri menerusi OP PERMAI dan OP TIRIS 3.0 di perairan Lawas di sini, hari ini.

Pengarah APMM Miri, Kapten Mohd Khairol Anuar Saad dalam satu kenyataan berkata, bot berkenaan ditahan dalam satu rondaan rutin yang diadakan sekitar 4 pagi.

Sebahagian daripada rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas.

“Bot ronda APMM mengesan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri sehingga bot pancung itu memasuki kawasan hutan paya bakau berhampiran.

“Suspek berjaya meloloskan diri setelah bot berkenaan terkandas di hutan paya bakau tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak APMM Miri berjaya menahan bot serta merampas kesemua barangan di dalam kapal tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 30,000 batang rokok dan 1,200 tin minuman keras pelbagai jenama.

“Kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai lebih RM200,000, dan kes disiasat di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan,” ujarnya.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204/Pusat Operasi Maritim Sarawak 082-432544/082-432016 untuk maklum balas segera.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU