Trending

APMM patahkan cubaan seludup keluar hampir 2,000 kg gula, tong gas dan beras ke Indonesia

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Empat kru termasuk tekong yang mengendalikan sebuah bot menyeludup keluar gula, tong gas dan garam dipercayai dijual ke pasaran Indonesia

KUCHING: Cubaan empat kru termasuk tekong warga asing menyeludup keluar barang terkawal menerusi laluan laut berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak petang semalam.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunos berkata, bot berkenaan ditahan oleh bot Peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Operasi Permai dan Operasi Tiri di sekitar perairan Sematan.

Katanya, berdasarkan aduan awam, bot berkenaan dikesan sedang bergerak di sekitar kedudukan 2.7 batu nautika Barat Laut Pulau Talang Besar, dipercayai sedang bergerak menuju ke arah sempadan Malaysia-Indonesia.

“Pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong warga negara Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 55 tahun berada di dalam bot berkenaan. Kesemua kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah 1,644 kg gula, 10 unit tong gas (14 kg), dan 30 kg beras dipercayai untuk dijual di pasaran Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zin Azman berkata, kesemua suspek ditahan bersama bot dan barang rampasan bernilai lebih RM142 ribu telah dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2006).

Beliau dalam pada itu memohon masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut di talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak 082-432544 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Sepuluh unit tong gas seberat 14 kg disimpan di dalam bot, cuba diseludup keluar
Sejumlah 1,644 kg gula turut ditemui dalam bot berkenaan

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru