TUMPUAN serius kerajaan dalam mengembangkan industri sagu dan nipah semakin terarah. Baru-baru ini dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, diputuskan Dalat sebagai lokasi pengoperasian ibu pejabatnya.
Selain itu, Pusa dipilih sebagai pejabat kedua lembaga yang diluluskan pada tahun lalu. Pemilihan Dalat dan Pusa sangat signifikan apabila masingmasing mempunyai kekayaan sumber sagu dan nipah.
Dalat merupakan sebuah daerah pertanian yang terkenal dengan pokok rumbia selain komoditi lain seperti nanas, kelapa sawit dan buah-buahan tempatan.
Daerah ini juga meletakkan diri dalam perdagangan antarabangsa sebagai pengeluar tepung sagu terbesar di dunia dengan empat kilang sagu yang mempunyai pengeluaran lebih 74 tan sehari.
Sementara Pusa kaya dengan gula apong. Pokok nipah atau nama popularnya “apong” dalam kalangan masyarakat Sarawak cukup popular.
Namun berbanding sagu, perusahaan produk apong boleh dianggap jauh ke belakang.
Sagu sudah ada teknologi dan kilangnya tersendiri.
Tetapi, perusahaan apong kebanyakan masih menggunakan kaedah pemprosesan konvensional.
Sehingga kawasan apong subur merimbun banyak yang sudah ditebang, kemudian digantikan dengan tanaman lain yang lebih mendatang hasil.
Tahu atau tidak, Sarawak mempunyai kira-kira 150,000 hektar kawasan bakau yang ditumbuhi apong. Keluasan yang boleh dianggap besar tetapi kurang diteroka.
Cuma dalam tempoh empat ke lima tahun ke belakang, barulah nampak usaha pelbagai pihak untuk mengangkat potensinya.
Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, yang juga ADUN Beting Maro Razaili Gapor antara individu yang tidak pernah tertinggal membangkitkan isu ini setiap kali persidangan DUN.
Tindakannya turut disokong ramai wakil rakyat yang lain.
Sehinggalah pada persidangan DUN awal tahun lalu, dibentangkan Rang UndangUndang (RUU) Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah 2022.
Selepas sidang DUN Sarawak meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, perusahaan gula apong seolaholah diberi nafas baharu.
Bagi industri sagu, ini mungkin dimensi lebih agresif kerajaan. Sebab itu, Razaili menyifatkan Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah yang ditempatkan di Dalat, sementara pejabat cawangan didirikan di Daerah Pusa bagi memberikan fokus penuh kepada pembangunan industri sagu dan nipah.
Dijangka menjadi pemain utama adalah pihak Craun Research.
Razaili optimis lembaga dapat membantu mengangkat industri sagu dan nipah dengan banyak perancangan baharu, dan bergerak ke tahap lebih tinggi demi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Seterusnya, membantu Sarawak dengan menyumbang keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada industri sagu dan nipah. Seterusnya memastikan kemampanan keduadua tanaman di Sarawak.
Terima kasih Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (nama lama bagi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang diteraju Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Objektif utama Tegasnya, lembaga mempunyai objektif utama untuk mempromosikan, memudah dan membangunkan industri sagu dan nipah sebagai sempadan baharu memaksimumkan pulangan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Ia juga akan menggubal objektif strategik, dasar dan keutamaan bagi pembangunan teratur dan pentadbiran sagu dan nipah di Sarawak.
Selain itu, membawa kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi baharu dan menggalakkan pembangunan teratur sektor huluan dan hiliran sagu dan nipah.
Persoalan bila beroperasi dijangka dapat dimulakan, sudah ada bayangan dalam masa terdekat. Walaupun ibu pejabatnya belum siap, lembaga dijangka menggunakan pejabat Craun Research terlebih dahulu.
Kerana ia bukan sahaja menjadi harapan masyarakat luar bandar, tetapi juga kepimpinan tertinggi negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri mahu lembaga tersebut memacu perkembangan industri kedua-dua komoditi yang kurang diberikan perhatian sebelum ini. Impian Abang Johari tidak lain tidak bukan untuk memperkasakan lagi ekonomi masyarakat luar bandar.
Lebih-lebih lagi apabila ada kajian mendapati sagu dan nipah yang tumbuh di kawasan paya bakau di sepanjang pantai Sarawak, mempunyai kadar penyimpanan karbon tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tumbuhan pokok lain.
Justeru, Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah perlu segera dihidupkan untuk memainkan peranan secara maksimum.
Ini belum lagi bercakap potensi sebagai biogas termurni mengandungi gas metana, yang selamat digunakan sebagai gas memasak berbanding gas LPG.
Hasrat kita agar lembaga mampu menjadikan perusahaan sagu dan gula apong sebagai industri di negeri ini seperti di Semenanjung Malaysia dan negara Asia Tenggara lain, yang jauh lebih ke depan.
Kalau Sarawak pernah diiktiraf sebagai pengeksport terbesar tepung sagu dunia, mengapa tidak bagi produk apong.
Yang penting, main peranan kerana industri nipah berpotensi berkembang dengan kawasan tanaman seluas kira-kira 150,000 hektar di Sarawak.
Harus diketahui juga, apong ialah tanaman jenis parennial dengan hasilnya boleh dituai empat tahun selepas ditanam serta mampu mengeluarkan hasil selama lebih 50 tahun.
Sebagai sokongan, idea mewujudkan Taman Agro Nipah adalah sesuatu yang cukup bagus.
Konsepnya, ladang nipah dibuat secara tersusun dan teratur dengan sistem rangkaian jalan dan air yang sesuai bagi memodenkan industri dan meningkatkan pengeluaran.
Di awal rancangan mewujudkan Taman Agro Nipah (peringkat awal seluas 4.047 hektar) di Kampung Tambak di Pusa misalnya, ia dilengkapi pelbagai kemudahan.
Dengan peruntukan RM2 juta oleh Kerajaan Sarawak, taman itu akan menjadi pusat sehenti bagi industri apong.
Antara elemen penting yang dilihat perlu adalah kilang, pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat pengumpulan serta pembungkusan produk.
Justeru, kerjasama yang dipacu pihak Craun Research dengan kolaborasi pihak lain ketika ini penting demi menggerakkan lagi proses perubahan.
Adalah sangat diharapkan pihak yang mempunyai kepakaran dapat membantu memperkasakan komuniti apong.
Penulis lebih menekankan tentang apong kerana perjalanan menjadikannya sebagai industri dilihat agak perlahan.
Maka, Program Pembangunan Komuniti Nipah yang dikelolakan oleh Craun Research mungkin boleh diperkasakan lagi.
Objektifnya meningkatkan kesedaran tentang industri nipah yang mampu memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar. Memperkenalkan kemajuan terkini teknologi penanaman dan pemprosesan produk apong.
Menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan.
Mengenal pasti isu-isu semasa dan terkini yang dihadapi oleh penggiat industri nipah.
Tuntasnya, dengan pengoperasian Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, penduduk yang menjadi pemain utama industri apong dapat mengubah diri dan cara kerja agar mengikut perkembangan teknologi.
Akhirnya, merealisasikan impian memastikan apong mampu menjadi industri penting kepada negeri dan negara, dengan menyumbang pendapatan yang lumayan.