KUCHING: Dalam Sarawak mengingati ulang tahun kemerdekaan ke-60, Sarawak perlu mempunyai arah dan hala tuju yang baharu, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, arah dan hala tuju ini akan membolehkan kerajaan Sarawak meneruskan usaha pembangunan pada masa akan datang.
“Kalau dari sudut terminologi, teknologi maklumat (IT), kita menggunakan navigasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) bagi kompas…dan Sarawak juga bertuah mempunyai GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang boleh tahu arah dan hala tuju kerajaan.
“Kita (GPS) tahu arahnya, yang mana kita telah melatih anak kita yang muda untuk meneruskan usaha pembangunan kita ke arah 60 tahun yang akan datang.
“Sebab itu kita mempunyai Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) untuk melatih mereka (anak muda) bagi perubahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian konvoi Kembara Sarawak sempena ulang tahun kemerdekaan Sarawak ke-60 di Taman Awam Lawas di sini, hari ini.
Beliau mendedahkan hala tuju ini juga dapat dibuktikan apabila beliau dikunjungi oleh sebuah bank terkemuka di Singapura baru-baru ini.
“Mereka memberitahu saya bahawa mereka dapat melihat potensi besar Sarawak dan masa depan kita ke arah yang baik. Dengan potensi yang kita ada, mereka juga berkata Sarawak mungkin menjadi kuasa ekonomi di rantau ini. Bukan Malaysia tetapi di rantau ini,” jelasnya.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.