Arahan tutup melibatkan semua institusi pendidikan dari taska hingga IPT

KUCHING: Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM di kawasan zon merah ditutup berkuat kuasa esok.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ini termasuk sekolah antarabangsa, taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, politeknik, universiti awam dan swasta serta pusat tuisyen yang berada di kawasan zon merah.

“Hanya pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dibenarkan menghadiri sesi persekolahan untuk mengambil ujian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, pelajar yang sedang menduduki peperiksaan perlu merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) sekolah masing-masing.

JPBN memberitahu, keputusan tersebut susulan daripada pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar semua institusi pendidikan ditutup berkuat kuasa bermula 20 April hingga 3 Mei ini, iaitu selama 14 hari.

Suara Sarawak