Arkitek tidak lagi guna kaedah lama

KUCHING: Sektor pembinaan perlu berubah ke arah teknologi baharu menggunakan realiti maya (VR) berbanding autocat sebelum ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah yusof berkata, dalam pembinaan sesuatu projek, masa yang agak lama diambil untuk merancang reka bentuknya.

“Apabila rancangan reka bentuk dibuat melalui komputer maka ia menjimatkan masa. “Oleh itu, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita akan hantar pelan menggunakan VR kepada KPKT untuk kelulusan,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan Fadillah bersama-sama editor media Sarawak di sini pada Sabtu.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, arkitek sedia ada tidak lagi menggunakan kaedah konvensional untuk reka bentuk.

“Meskipun menggunakan VR agak mahal tetapi ia menjimatkan masa kelancaran projek. “Jadi, kita bekerjasama dengan Universiti Swinburne dan CIDB Sarawak untuk melatih arkitek mendalami teknologi baharu,” tegasnya.

Jelasnya, dalam situasi penularan pandemik Covid-19, penggunaan teknologi dalam industri pembinaan amat penting supaya kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan.

“Dengan teknologi baharu kita mampu bersaing selari dengan Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.