ART dari Batu Kawa ke Bau

KUCHING: Keseluruhan kawasan Batu Kawa hingga Bau bakal membangun pesat dan berubah wajah dalam tempoh lima tahun akan datang dengan peningkatan mobiliti termasuk pembinaan Transit Aliran Automasi (ART).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selepas siapnya fasa pertama projek ART menjelang 2025, fasa kedua pembinaannya diteruskan di Batu Kawah, Bau, Lundu sehingga ke Sematan.
“Inilah perancangan untuk ART dan fasa kedua hingga 2030, ia akan melalui Batu Kawa seperti permintaan Adun Batu Kawah, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. “Malah Batu Kawa kini semakin pesat dengan pembangunan dan jalan raya semakin sesak.
“Jadi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kita akan membina jalan baharu dari sini hingga Matang berdekatan bulatan Yayasan Sarawak. “Bermakna akan ada tiga akses laluan trafik ke Batu Kawa. Kerajaan juga mempunyai pelan induk untuk keseluruhan pembangunan Bahagian Kuching termasuk Bau serta Lundu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Dewan Sukan Komuniti dan Hab Inovasi di tapak bekas kuari Ang Cheng Ho, di sini, semalam.
Menurutnya, pembinaan jalan tersebut bertemu dengan jalan lingkaran bulat menuju Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) seterusnya menghubungkan Bahagian Samarahan.
“Apabila jalan raya baharu dibuka, kita juga akan dapat membuka perumahan mampu milik di sini pada harga berpatutan. “Kita mempunyai formula untuk ini, tetapi saya akan dedahkan kemudian.
Pelan ini membolehkan kita membantu rakyat membeli rumah mampu milik. “Selain itu, kita akan membina stesen pengisian bersepadu 3 dalam 1 di Batu Kawa. Ini bermakna masa hadapan kita lebih cerah. Saya yakin Sarawak akan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.
Mengulas mengenai projek tersebut, Abang Johari bersetuju meluluskan peruntukan RM5 juta tambahan untuk kos pembinaan keseluruhan RM15 juta untuk mentransformasikan bekas kuari Ang Cheng Ho menjadi Dewan Sukan-Komuniti dengan Hub Inovatif.
Kelulusan tersebut diumumkannya selepas Dr Sim memohon sedikit tambahan untuk projek berkenaan sejajar usaha memodenkan kawasan tinggalan berkenaan menjadi pusat rekreasi baharu untuk komuniti.

Suara Sarawak