ARTIKEL

Arundina buat Syakila

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

“MASUK adik, kaka, tengo bunga!” pekerja lelaki itu seperti kakak tua menyantuni pelanggan yang masuk-keluar ‘Nurseri Nuri’.

Telor Melayunya sudah semakin baik selepas dua bulan mendarat di lahan Malaysia.

Semacam robot yang diprogramkan, terus sahaja dia membuntuti setiap pelanggan yang datang dengan tangannya yang tidak letih memperkenalkan spesies baharu herba yang terdapat di situ.

“Ini baru kaka. Ini baru sampa.

Cantik, morah!” Terus juga dia mengulangi frasa yang baru tauke taman itu ajari.

Pusat jualan botani itu sudah beroperasi lima tahun lepas.

Statistik graf jualannya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Namun, menurut Tuan Sali, pemilik nurseri, masalah yang sering dihadapi ialah ketika musim perayaan.

Bukan soal pelanggan yang kurang atau bekalan tanaman tidak sampai, tapi soal pekerja yang selalu bertukar dan berhenti.

Masa itu waktu puncak kedatangan pelanggan, jika tiada pekerja memang menyukarkannya.

Terpaksa kerah anak bini berniaga sama.

Walaupun ada dalam kalangan mereka itu bukan minat sangat bidang tersebut, tapi terpaksa juga layan kehendak Tuan Sali.

Memang menjadi dasar perniagaannya mahu mengutamakan pekerja tempatan, tapi macam semua orang katalah.

Bukan sahaja banyak songeh, bahkan tahap disiplin, kerajinan dan integriti pun sering dipersoal.

Gaji nak mahal, kerja malas! Begitulah mudah ceritanya.

Mahu tidak mahu, terpaksa juga Tuan Sali mendaftar untuk dapatkan bekalan pekerja asing dari pihak agensi atau kementerian.

Penat juga dia turun naik pejabat dan imigresen untuk urusan tersebut.

Sekarang semakin ketat dan susah pula syaratnya selepas terbongkar sendikit dan kartel pemerdagangan manusia baru-baru ini.

“Tima kasiy kaka, adik!” lagi suaranya yang tidak lokek dikeluarkan apabila pelanggan keluar walaupun tidak membeli apa-apa.

Dia hadiahkan senyum juga kepada semua yang keluar.

“Baru kerja sini, ke?” tegur pelanggan remaja yang mengiringi ibunya keluar.

Lelaki Bangla itu teragakagak.

Hadam seketika.

Kemudian angguk.

Kulitnya yang sedikti gelap itu merona sedikit, mungkin tidak yakin dengan tindakan angguk itu.

Gadis remaja itu angguk juga.

“Siapa nama?”

Dia bertanya lagi, pendek dan ringkas.

Kali ini lelaki Bangla itu senyum menampakkan giginya yang putih bersalut kemerahan.

Kelihatannya macam lepas makan sirih. Memang makan sirih menjadi antara budaya mereka. Frasa itu baharu dipelajarinya dua hari lepas.

FLORA PUTIH-UNGU

“Ghulam,” jawabnya juga pendek. Remaja tadi angguk dan terus meninggalkannya.

Ketika melalui pintu keluar, matanya terpandang akan sepasu flora putih-ungu sedang galak berbunga.

Tangannya seakan-akan menarik lengan si ibu.

Langkah si ibu terhenti.

“Cantiknya, bu!” seraya mahu berpatah balik.

Namun, si ibu bergegas mengajaknya beredar sambil melihat jam di tangan.

“Bu, Syakila nak bunga tu, boleh?”

katanya seakan-akan merintih.

“Arundina, cantik!” sampuk Ghulam.

“Lain kali ye, sayang. Ibu ada hal,” pintas ibu.

Syakila cemberut.

Namun, mengikut juga langkah ibunya hala ke kenderaan yang dipanaskan enjinnya.

Seorang pemandu separuh abad sedang menanti.

Sebentar sahaja kereta besar itu memecut meninggalkan lapangan.

Ghulam meneruskan tugasnya meladeni pelanggan yang lain.

Dia belai seketika rimbunan arundina yang baru sampai pagi tadi.

Speseis orkid tanah yang memang rajin berbunga, cepat saja tumbuh biak kalau kena jaga asuhnya.

Ada beberapa warna bunga arundina ini – putih-ungu, kuning, putih sahaja dan merah jambu.

Baca lain  Sanggar Puisi

Wajah remaja wanita yang ingin memiliki bunga tadi berbalam di paparan retina.

Tiba-tiba wajah itu menjadi penghuni kelopak arundina yang sedang mekar kembang.

Semakin lama semakin banyak pula imej wajah itu menjelma hingga memenuhi semua pasu yang menjadi habitat flora itu.

Ghulam terkesima sendiri sambil menikmati raut wajah remaja tadi yang berliang-liuk mengikut tarian arundina ditiup silir duha.

Hingga terlupa akan dia beberapa pelanggan yang memanggilnya sejak tadi.

Bilik rehabilitasi itu sudah jadi semacam kamar tidurnya sendiri.

Sudah bukan asing lagi baginya.

Manakan tidak, hampir setiap minggu dia akan berkunjung di situ.

Mendengar nasihat dan menjalani fisioterapi daripada pakar fisio. Semua staf di bilik dan aras itu dia kenal.

Malah doktor dan jururawat yang merawatnya juga amat rapat dengannya.

“Hari ini nak buat apa, doktor?” sengaja dia memenuhi suasana.

Soalan yang telah dia sendiri tahu jawapannya.

Macam biasa doktor yang merawatnya layan juga pesakitnya yang satu ini.

“As usually… ambil darah dulu, tengok kadar oksigen..” sambil senyum terukir di balik hijab pelitup khasnya.

Tidak seperti awal-awal penyakit ini menyerang dahulu, setiap doktor ada yang terpaksa mengenakan tiga lapis pakaian.

MENYERAH

Syakila seakan-akan menyerah dirinya untuk diperlakukan apa-apa sahaja oleh petugas medikasi.

Sudah lali benar dia dengan rutin rehab penyakit yang masih menjadi momok di seluruh dunia itu.

Namun, nasibnya agak malang kerana terpilih sebagai mangsa “kesan pascacovid”, kes yang tidak terjadi kepada semua pesakit Covid-19.

Itulah rutinnya lewat dua bulan lalu.

Beberapa pesakit yang sama kes dengannya juga berdepan dengan rawatan susulan serupa.

Namun nasib antara mereka tentu berbeza.

Masing-masing dengan kemungkinan yang tidak dijangka.

Dalam usia meningkat remaja itu, dia diuji dengan percubaan yang bukan kalengkaleng.

Mukanya kian hari kian pucat.

Tiga bulan duduk dalam pengawasan penuh doktor.

Komplikasi penyakit lain yang dihidapinya memberi kesan negatif apabila dijangkiti Covid-19.

Sudah banyak kali keluarganya membawa ke klinik pakar dan hospital ternama.

Namun, penyakit yang dihidapinya bukan seperti biasa.

Menurut salah seorang doktor pakar, Covid-19 yang menyerang pesakit berisiko lebih bahaya daripada pesakit biasa.

Sejak kecil Syakila berdepan dengan simptom sakit saraf yang mengganggu pergerakan dan prestasi akademiknya.

Dia sering lemah dan tidak berminat akan sesuatu aktiviti fizikal ketika sekolah rendah lagi.

Apabila rawatan lanjut, doktor mengesahkan dia mengalami sakit saraf atau neuron motor.

Keadaan semakin serius ketika dia di tingkatan satu apabila dia sering terjatuh tanpa sebab dan ketahanan fizikal mula merosot.

Sejak itu, dia menerima rawatan pakar dan terapis hingga kini.

Ketika pandemik Covid-19 mula menyerang negara, keluarganya jaga sangat aktiviti dan pergerakan Syakila.

Namun, biarpun usaha pencegahan dilakukan, takdir lebih menentukan.

Syakila terjebak juga dengan ancaram tersebut.

Dan beginilah rutin harian Syakila kini.

Dia merenung jendela kamar isolasi.

Kini pihak hospital beri kelonggaran sedikit dengan membenarkannya beristirahat di rumah.

Persekitaran pasca-PKP membenarkan orang ramai keluar tanpa sebarang sekatan memberi sedikit kelegaan.

Sekurang-kurangnya dapat juga mengelak daripada dihidu sindrom lain pula seperti gejala stres dan kemurungan.

Statistik mutakhir menunjukkan peningkatan yang membimbangkan!

Namun, rawatan susulan mesti dipatuhi untuk pemantauan.

Baca lain  Di antara dua pohon

Biarpun rutin itu membosankan, tetapi itulah satu-satunya jalan untuk memenuhi diari medikasi.

Yang pasti, penyakit ini memang degil dan sukar diubati.

Ghulam jenguk-jenguk ke pintu masuk macam mencaricari sesuatu.

Hatinya resuh sejak beberapa hari ini.

Tuan Sali selalu menegurnya kerana kerap hilang fokus ketika bekerja.

Lain yang pelanggan minta, lain pula yang diberi.

Pernah suatu hari dia dibentak pelanggan India yang meminta baja organik, tetapi dihantarnya botol hidroponik.

Terjegil biji mata lelaki itu melihat selonggok bekas tanaman berasaskan air itu di depannya.

“Dey macha! ini apa? Selalu saya ada beli itu baja, kan?”

Lelaki itu kelihatan marah.

Terkulat-kulat Ghulam hendak memahami dan menjawab kata-katanya.

Ketar-ketar tangannya mengambil kembali barang yang tersalah bagi itu.

Tepaksa pula Tuan Sali mendamaikan suasana.

Itu bukan kali pertama kesilapan nyang dilakukannya, bahkan sejak seminggu ini banyak sangat kesalahan yang terbuat.

Sudah dua kali Tuan Sali terpaksa buat sesi kaunseling kepadanya. 

Mungkin juga fikiran Ghulam tidak tenteram kerana baharu sahaja meninggalkan negara asalnya.

RINDU

Rasa rindu kepada keluarga atau orang disayang tentu sukar dihambat.

Ketika masa senggang, Ghulam dilihat asyik sahaja memandang ke arah pintu pagar.

Setiap pengunjung yang masuk disambut dan diamatamatinya.

Seperti lazim, ayat dan frasa utama yang dilafazkannya terus diulang.

Kemudian mengiringi pelanggan ke mana arah dituju sambil menerangkan sesuatu.

Mercedes kuning langsat mendarat gah di tepi pagar.

Seorang wanita lagak datin keluar bersama seorang anak lelaki lingkungan sekolah rendah.

Seperti biasa kedatangannya disambut Ghulam yang pantas pula berada di depan pintu masuk walaupun tadi mengiringi pelanggan lain yang datang.

Kerjanya memang pantas dan ligat.

Sebab itu kot, majikan lebih suka rakyat luar daripada warga sendiri yang culas ketika bekerja.

Itu antara hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Orang yang selalu selesa tidak akan berasa nikmat yang Allah berikan sebagaimana orang yang selalu menderita.

“Selamat datang makcik, jumpu masuk.. ada bunga baharu,” frasa lazim yang semakin dibasahinya.

Wanita separuh abad yang masih kelihatan bergetah itu senyum seperti biasa juga.

Dia pun sudah lali dengan ayat-ayat Ghulam.

Ghulam mengekori wanita itu yang membelek-belek arundina yang berkembang meriah di para hadapan.

Ghulam jenguk-jenguk ke arah kereta seakan-akan mencari sesuatu.

“Makcik… mau tanya…” dalam teragak-agak dia menegur.

Wanita tadi menoleh.

Agak pelik.

Biasanya pelanggan yang tanya dia fasal bunga yang hendak dibeli.

Dia pandang Ghulam seketika hingga kemalu-maluan pula jejaka kelam itu.

“Tanya apa Ghulam?” wanita itu pula soal balik lewat beberapa saat pegun.

Serba salah pula Ghulam.

Dia main-main bucu baju kemeja merah jambu yang dikenakan.

Macam budak- budak sentap kena marah emak.

“Tak de… er… anak tak de mari… ke?” Kisahnya.

Ghulam ingat lagi anak remaja wanita itu yang ingin akan bunga arundina tempoh hari.

Kuat pula ingatannya.

Wanita itu sedikit tersentak. 

Dia tenung wajah Ghulam. Lelaki itu melarikan bola matanya.

“Syakila?” dia balas dengan pertanyaan juga. Semacam yakin, Ghulam angguk.

Wanita itu pegun.

Tetiba pula dia diam.

Ghulam cuak. Tahu pula dia rasa bersalah.

Seakan-akan soalan itu mengganggu emosi wanita tersebut.

Baca lain  NUKILAN JAIS SAHOK

Semilir pagi menyapa lembut pashmina wanita separuh abad.

Meniup sama lengkisau pilu yang jeraus menyelinap ke laci jiwa.

Iris berbalam dengan cecair jernih, menghantar isyarat luka yang terpenjara.

Wajah Ghulam dilawatinya.

Kemudian paling pada arundina yang mekar menghiasi taman.

Beraneka warna yang berbunga ketika itu.

Putih, ungu, kuning bersilang antara dedaun yang mendiami pasu. Indah, namun tidak memberi ceria kepada wanita tersebut.

Segemal pilu pula menyentap nubari Ghulam yang rasa kerananya menyebabkan mendung di wajah wanita itu berarak.

Matanya terkebil-kebil menanti apakah jawapan dan tindakan wanita itu ekoran soalan yang tiba-tiba menghadirkan sunyi.

Ghulam dapat mesej melalui telefon bimbitnya.

Tuan Sali hadiahkan untuk senang dia berurusan dengan pelanggan.

Mata dan mukanya berubah.

Sebentar dia berkata sesuatu kepada Tuan Sali, lantas memecut dengan basikal yang menjadi kenderaan rasminya datang bekerja.

Baglo agam di kaki bukit itu sudah dua kali dikunjungi.

Kali pertama ketika bersama Tuan Sali menghantar pesanan berupa pasu-pasu dan beberapa jenis bougainvillea.

DESTINASI

Sebentar sahaja Ghulam telah sampai ke destinasi.

Setelah diizinkan masuk, dia dibawa ke sebuah kamar yang indah.

Mengah dada masih turun naik.

“Dari semalam dia sebutsebut perkataan arundina.

Nama Ghulam juga diulang beberapa kali.”

Tersentak dia apabila si ibu memberitahunya.

Di depannya kini sekujur jasad pipih yang pucat lesi di atas pembaringan.

Tanpa suara, tanpa mata yang bercahaya.

“Kenapa Syakila, makcik?”

Tiada jawapan yang persis. Hanya respirasi lemah dari tubuh longlai jadi proksi.

Ghulam mendekat sambil meletakkan sepasu arundina yang dibawanya dari ujana.

Basikalnya telah Tuan Sali ubah suai dengan raga khas di bahagian hadapan.

Matanya menjeling sosok longlai itu sambil mulutnya komat-kamit membaca entah apa.

Kombinasi warna unguputih yang mewarnai kelopak arundina amat mempesona.

Sekali gus suasana ceria terpapar di ruang kamar.

Itulah flora idaman Syakila yang belum sempat disuntingnya beberapa hari lalu.

Keadaannya menjadi gering tiga hari lepas itu.

Perlahan-lahan Ghulam berundur diri. Sejalur garis merah melintang di retina.

Sayu menggulati suasana. Gemersik tifa melankolia berpuput dari mandala jendela.

Menghantar rasa empatik pada sekeping atma yang lara.

Dia mohon permisi.

“Arundina…” suara lirih tapi jelas kedengaran dari relung artikulasi yang lelah.

Serentak langkah dihenti dan wajah dipaling ke arah bunyi.

Si ibu merapat ke pembaringan memastikan punca keluarnya seruan.

“Siapa bagi arundina… bu?” Diam. Si ibu mendekat lagi.

Senyum membungai wajah pabila puteri kesayangan mula membuka kelopak mata.

Sepasang mata berbicara sepicing.

“Syakila… anak ibu…” sambil mengelus-ngelus rambut halus anaknya.

Bening wajah Syakila berbaur ceria.

Anak mata menghayati indah arundina seakan-akan tangan mahu mencapainya.

Ibu mengambil pasu tembikar tempat bersemayamnya arundina.

Didekatkan ke sisi Syakila lalu dibelai dan dipeluk mesra.

“Cantiknya arundina!” suaranya mula berada pada tabaqat sederhana.

Dia mengiringkan badan sedikit mahu menyentuhi kelopak ungu-putih yang berseri.

Tenaganya mula menguat.

Sinar flora idaman membawa aura tersediri memenuhi vakum.

Si ibu menarik nafas lega.

Riak ceria memayungi rona wajah.

Sambil jemari lembut mengusapi lunak dahi puteri kesayangan.

Syakila perlahan-lahan menyandarkan badan.

Menikmati indah arundina.

Di sebelahnya seorang lelaki bernama Ghulam tidak jadi permisi, tersenyum menampakkan gusi. 

BERITA LAIN

Selamat tinggal, perempuan berambut putih

CLAYTON ROBERT bertugas Sebagai Pembantu Penguat Kuasa di Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak. Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia,

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Sanggar Puisi

HARUMAN RAMADAN Hirupan mewangi akrab bersama alunan suci Rempah taqwa membalut diri Ujian menahan nafsu Sepurnama Ramadan hadir Maghfirah diburu insani Mawaddah iqra itulah penyeri

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

Oyeng dan lelaki berwajah Bonoba

AWANG JOHARI JULAIHI menggunakan nama pena: Johari A. Julaihi, berasal dari Simunjan dan menetap di Kota Samarahan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,