AS berdepan situasi buruk jika Trump tangguh tandatangan RUU bantuan Covid-19

WASHINGTON: Presiden AS yang dipilih, Joe Biden pada Sabtu memberi amaran ‘kesan amat buruk’ boleh berlaku jika Donald Trump terus menangguhkan untuk menandatangani rang undang-undang (RUU) bantuan ekonomi Covid-19, yang diluluskan Kongres, baru-baru ini.

Biden berkata demikian ketika berjuta-juta warga AS melihat manfaat pengangguran mereka berakhir setelah Trump menolak pakej bantuan pandemik yang sudah lama ditunggu-tunggu.

“Pengabaian tanggungjawab ini membawa akibat buruk. Hari ini, kira-kira 10 juta rakyat AS akan kehilangan manfaat insurans hilang pekerjaan,” kata Biden dalam satu kenyataan.

Pakej rangsangan itu diluluskan sekali dengan RUU pembiayaan pertahanan berjumlah AS$1.4 trilion dan perlu diluluskan Trump. Jika tidak, kerajaan terpaksa ditutup pada tengah malam Isnin.

“Hanya dalam masa beberapa hari, dana kerajaan akan habis, menjadikan perkhidmatan dan gaji penting untuk anggota tentera berisiko,” tambah Biden.

“Penangguhan itu mengakibatkan perniagaan kecil tidak mampu bertahan dan rakyat lewat menerima bayaran bantuan yang dapat membantu mereka bagi mengharungi kesan penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, Kongres AS meluluskan pakej bantuan AS$900 bilion bagi membantu jutaan keluarga dan peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Pakej bantuan yang diluluskan Senat dan Dewan Perwakilan itu membolehkan ia diserahkan kepada Trump untuk ditandatangani dan diperakui.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Trump menolak RUU pembiayaan pertahanan yang diluluskan kedua-dua parti, sekali gus boleh mengakibatkan kerajaan AS lumpuh ketika berdepan pandemik.

Tindakannya itu mengakibatkan ahli Kongres terpaksa bersidang kembali di Washington selepas cuti Krismas untuk membatalkan keputusan veto Trump itu.

Sementara itu, Biden berkata, dalam tempoh beberapa hari, pembiayaan kerajaan akan luput, meletakkan perkhidmatan penting dan pembayaran gaji kepada anggota tentera dalam risiko.

“Dalam tempoh kurang seminggu, moratorium pengusiran akan tamat, menyebabkan jutaan rakyat AS berisiko diusir keluar dari rumah masing-masing dalam tempoh cuti ini,” katanya. – AFP

Suara Sarawak