Trending

AS jalin kerjasama lebih erat dengan sekutu di Indo-Pasifik – Llyod J Austin III

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SINGAPURA: Amerika Syarikat menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan dan sekutunya “dengan menggandakan pakatan dan perkongsian,” kata Setiausaha Pertahanan Lloyd J. Austin III dalam ucapannya bertajuk “A Shared Vision for the Indo-Pacific” pada Dialog Shangri-La ke-20 di Singapura semalam.

Austin berkata, Strategi Pertahanan Nasional AS menyeru kerjasama lebih rapat dengan sekutu dan rakan kongsinya pada setiap peringkat perancangan pertahanan.

“Semangat perkongsian itu mendorong kita bersama membantu rantau ini pulih daripada pandemik, termasuk menyediakan lebih 360 juta dos vaksin yang selamat dan berkesan.

“Dan semangat yang sama akan membantu kami menangani ancaman yang lain secara bersama, daripada perubahan iklim kepada percambahan nuklear,” katanya.

Austin menyatakan bahawa matlamat bersama adalah jelas, iaitu “untuk menghalang pencerobohan dan memperkukuh peraturan dan norma yang menggalakkan kemakmuran serta mencegah konflik.

“Jadi kami meningkatkan perancangan, penyelarasan dan latihan dengan rakan-rakan kami dari Laut China Timur ke Laut China Selatan hingga Lautan Hindi,” katanya.

Ia termasuk sekutu seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Thailand.

Ia juga termasuk rakan kongsi  seperti India, Indonesia, Vietnam dan Singapura, katanya.

Memetik contoh, Austin berkata AS dan Filipina baru-baru ini menetapkan empat lokasi baharu di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan.

“Ia akan membolehkan pasukan kita bekerjasama mengukuhkan keselamatan Filipina, memodenkan tentera Filipina, dan menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

Austin menggariskan bahawa belanjawan Tahun Fiskal 2024 Presiden Biden termasuk belanjawan perolehan terbesar dalam sejarah untuk Jabatan Pertahanan, dan pelaburan terbesar dalam Penyelidikan & Pembangunan (R&D).

“Bajet beliau termasuk peningkatan 40 peratus berbanding tahun lepas untuk Inisiatif Pencegahan Pasifik (Pacific Deterrence Initiative) ke paras tertinggi sebanyak US$9.1 bilion,” katanya.

AS membuat pelaburan berani membabitkan pesawat udara, termasuk tambahan US$61 bilion untuk pesawat F-35, F22 dan pesawat tanpa pemandu.

AS juga melabur dalam armada kapal selam, serta angkasa, keselamatan siber dan kebakaran jarak jauh, termasuk hipersonik.

“Dan pada setiap masa, kami komited untuk berkongsi kemajuan yang telah kami lakukan bagi membantu rakan kongsi kami,” katanya.

Austin menyatakan bahawa “kerjasama kita telah menjadikan wilayah ini lebih kuat dan lebih selamat.”

AS akan terus bersama sekutu dan rakan kongsinya menegakkan hak mereka.

“Kami akan mengekalkan kehadiran kami dengan kerap dan bertanggungjawab di seluruh Indo-Pasifik. 

“Dan kami akan terus berusaha memastikan tiada satu negara boleh mengenakan kawalan ke atas laluan air yang dikongsi,” katanya.

Di Laut China Selatan, Austin berkata AS akan terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsinya untuk kebebasan pelayaran dan penerbangan.

“Dan izinkan saya sekali lagi menekankan kepentingan keputusan 2016 oleh Tribunal Timbang Tara.

Ia mengikat secara sah, dan ia adalah muktamad. 

“Usaha kami tidak akan terhalang oleh tingkah laku operasi berbahaya di laut atau di ruang udara antarabangsa”, katanya.

Menurut Austin, Indo-Pasifik telah menjadi contoh luar biasa dalam “kemajuan manusia dan kerjasama damai.”

“Konflik dan persengketaan tidak dapat dielakkan.

Tetapi keamanan dan kemajuan bukanlah automatik. 

“Keterbukaan dan kemakmuran yang semakin meningkat di rantau ini menunjukkan kepentingan bekerjasama, dan tidak membiarkan diri kita berpecah belah.

“Rakyat Indo-Pasifik mempunyai pandangan yang lebih luas dan wawasan yang lebih bijak.

Bersama-sama, kita boleh memperdalam keselamatan rantau ini,” katanya.

Ini adalah lawatan ketujuh Austin ke rantau ini sebagai Setiausaha Pertahanan, dan lawatan keempatnya ke Asia Tenggara. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru