Trending

ASEAN gerakkan dua bantuan terakhir ke Myanmar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

JAKARTA: Pusat Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (AHA Centre) menggerakkan dua kumpulan terakhir barangan bantuan ke Myanmar pada 16 dan 22 Jun ini melalui jalan laut.

Bantuan kemanusiaan itu bagi menyokong usaha bantuan kecemasan di Myanmar susulan bencana buruk akibat Siklon Mocha bulan lalu serta mencerminkan solidariti ASEAN terhadap rakyat mereka.

Barang bantuan berkenaan terdiri daripada barang bukan makanan, kit kebersihan diri dan sanitasi dan dijangka tiba di negara itu pada 20 dan 27 Jun, menurut kenyataan pengerusi ASEAN.

Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan ASEAN tiba di Myanmar pada 21 Mei dan juga antara sokongan kecemasan pertama yang diterima oleh komuniti terjejas.

ASEAN juga sudah memulakan perbincangan dalaman berkenaan sokongan yang mungkin bagi fasa pemulihan berdasarkan penilaian Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT).

ASEAN-ERAT menyiapkan penilaian keperluan awal mereka di kawasan yang terjejas pada 30 Mei.

Sehingga 2 Jun, AHA Centre menyerahkan barangan bantuan untuk komuniti yang terjejas di daerah Sittwe, Rathedaung, KyaukTaw dan Ponnagyun.

Barang bantuan bernilai AS$1.64 juta dihantar ke Myanmar dari pusat logistik kecemasan bencana ASEAN di Subang, Malaysia.

Lebih 400 orang dilaporkan maut di Rakhine, Myanmar akibat Siklon Mocha, yang melanda kawasan pantai antara daerah Cox’s Bazar di Bangladesh dan pekan Kyaukpyu Myanmar.

Lebih 10,000 rumah turut musnah akibat siklon berkenaan yang membawa angin kencang selaju 217 kilometer sejam. – Bernama

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru