Aset kawalan  pintu masuk ditambah

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan instrumen baharu bagi memantau perjalanan setiap individu yang memasuki pintu utama ke negeri ini sebagai usaha mengekang penularan novel koronavirus.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu langkah bagi menangani novel koronavirus yang semakin serius.

“Mesyuarat pada pagi tadi (semalam) telah mencapai beberapa keputusan iaitu tindakan segera dan penyelarasan akan diambil dalam kalangan agensi terlibat.

“Selain itu, kita akan menambah aset dan peralatan bagi kawalan di pintu-pintu masuk utama ke Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan novel koronavirus di sini, semalam.

Tambah Uggah, sesi taklimat kepada pihak berkepentingan utama berkenaan tindakan bagi menghadapai wabak ini akan diadakan pada hari ini (28 Januari).

“Justeru, kita akan membuat pengumuman tentang polisi serta pelan tindakan yang holistik pada 29 Januari nanti,” jelasnya.

Katanya, mesyuarat semalam diadakan untuk mendengar penerangan serta taklimat pelan tindakan mengenai koronavirus oleh Pengarah Kesihatan Sarawak dan membincangkan pelan tindakan bersepadu yang perlu diambil oleh setiap agensi berkaitan bagi melindungi rakyat daripada ancaman wabak itu.

“Kerajaan Negeri amat memandang serius akan penularan wabak novel koronavirus ini.

“Wabak ini sangat berbahaya dan boleh merebak dengan cepat yang sehingga kini belum ada vaksin khusus bagi merawat wabak ini,” katanya.

Beliau turut menasihati orang awam untuk mendapatkan rawatan segera di hospital sekiranya mengalami simptom batuk atau demam.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan ahli-ahli JPBN yang lain.

Menurut CNA.asia, koronavirus terus menjadi kes ngeri apabila 80 rakyat China meninggal dunia.

Suara Sarawak