Trending

ASIAD: Pertunjukan lampu tarik perhatian, tiada bunga api pada upacara perasmian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foto BERNAMA

HANGZHOU: Pertunjukan lampu bertemakan Sukan Asia melatari indah tebing Sungai Qiantang di sini, yang menjadi tarikan ramai terutama dalam kalangan delegasi dan pelancong sempena penganjuran temasya sukan berprestij itu.

Simbahan cahaya yang bergemerlapan di dada langit itu telah menggamit sukarelawan, pegawai serta pelancong dan penduduk tempatan untuk berkumpul di tebing sungai tersebut untuk menyaksikan persembahan berwarna-warni ketika lampu LED dan laser menari mengikut rentak.

Seorang daripada penonton secara berseloroh berkata pertunjukan cahaya itu seolah-oleh ‘menjemput penghuni langit untuk menonton temasya Sukan Asia yang menakjubkan itu’. 

Sementara itu, media tempatan melaporkan majlis perasmian Sukan  Asia akan melakar satu lagi kejayaan ke arah persekitaran yang lebih baik, dengan menggantikan pertunjukan bunga api tradisional dengan simbahan lampu digital.

Walaupun ia merupakan tempat kelahiran bunga api, yang digunakan secara meluas untuk upacara dan sambutan, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou (HAGOC) mahu memastikan edisi kali ini melakar kejayaan untuk menjadi negara neutral karbon pertama di Asia mengurangkan pelepasan karbon dan menggunakan tenaga hijau. 

Pertunjukan bunga api sentiasa menjadi tarikan penting dalam kebanyakan acara pelbagai sukan sewaktu majlis pembukaan dan penutup khususnya Sukan SEA hingga temasya Olimpik.

Jurucakap Pusat Arahan Majlis Perasmian dan Penutupan Sukan Asia Hangzhou, Li Yiqing berkata bunga api digital pelbagai warna menyampaikan konsep hijau dan yakin bahawa simbahan warna bunga maya itu mampu mencapai kesan yang sama.

“Bahan api obor utama upacara pembukaan menggunakan metanol sifar karbon, yang merupakan kali pertama di dunia, membantu menjadikan Sukan Asia neutral karbon pertama dalam sejarah. Metanol hijau yang dijana semula daripada sisa karbon akan digunakan sebagai bahan bakar untuk menara suar utama dalam upacara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sukan Asia ke-19 bakal menjadi tuan rumah kepada kira-kira 12,000 atlet dari 45 negara yang bertanding dalam 481 acara daripada 40 sukan. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

8 December 2023

Berita Terbaru