KUCHING: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menyokong penuh manifesto yang dilancarkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Ahad (6 Oktober) lalu.
Presidennya, Datuk Richard Wee Liang Chat berkata, ini kerana ia merangkumi visi dan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menyantuni masyarakat Sarawak secara keseluruhan.
Tegasnya, manifesto secara bertulis membuktikan kesungguhan dan komitmen Abang Jo bersama GPS kepada semua rakyat di negeri ini.
“Manifesto GPS adalah inklusif dan merangkumi semua lapisan masyarakat kita.
“Ia berorientasikan rakyat, mesra perniagaan, menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan modal insan serta mempunyai matlamat dan visi jangka panjang untuk hala tuju masa depan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelancaran manifesto GPS yang dibentangkan oleh Premier di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar keazaman GPS dalam menghapuskan birokrasi dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan jentera kerajaan dapat diteruskan.
Tegasnya, usaha itu secara tidak langsung memberi impak dan hasil terus dan positif kepada semua anak Sarawak.