KUCHING: Syarikat Astro telah menyumbang 50,000 penutup hidung dan mulut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membantu perlindungan kesihatan barisan hadapah di negeri ini.
Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Mohamad Morshidi Mustafa berkata, sumbangan itu akan diserahkan kepada petugas barisan hadapan.
“JPBN mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro yang sudi membantu Sarawak dalam menangani wabak Covid-19 ini.
“Selain itu, kami juga banyak menerima sumbangan daripada badan korporat lain dan NGO untuk menyokong usaha memutuskan rantaian wabak ini,” katanya kepada media selepas upacara penyerahan sumbangan di Bangunan Dun Lama, di sini, semalam.
Mohd Morshidi berkata, sumbangan itu jelas menunjukkan bahawa ramai pihak menyokong usaha kerajaan dalam menghadapi krisis yang melanda kini.
Beliau berharap dengan adanya sokongan dan kerjasama itu, ia akan dapat melancarkan usaha semua pihak dalam menangani rantaian wabak Covid-19.
“Masyarakat pula dinasihati untuk sentiasa berada di rumah bagi mengekang penularan wabak.
“Selain itu, masyarakat juga digalak mengamalkan garis panduan kesihatan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri,” tambahnya.
Pengarah Perkhidmatan Pelanggan Astro Alison Lau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Astro Mr Henry Tan turut hadir.