Atasi kesesakan melampau

KUCHING: Masalah kesesakan melampau di Jalan Batu 9 sehingga Jalan Batu 10 bakal diselesaikan dalam tempoh enam bulan lagi.

Adun Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, beliau menerima banyak aduan.

“Hasil perbincangan kami bersama-sama pihak Lebuh Raya Borneo Utara (LBU), pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak yang berkaitan, kita telah membuat cadangan yang diharapkan dapat menyelesaikan masalah ini.

“Ketika orang ramai turun bekerja pada waktu pagi dan pulang waktu petang jalan tersebut dibuka kepada dua lorong.

“Ini kerana waktu tersebut tidak ada kerja pembinaan dan ia memberi laluan kepada orang ramai,” katanya.

Khere Chiang berkata demikian ketika sidang media selepas berbincang dengan LBU dan JKR di CS Food Street di sini, semalam.

“Projek jalan raya ini sebenarnya di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan, bukan di bawah MPP atau Kerajaan Sarawak, tetapi orang ramai mengadu kepada saya… jadi saya harus bertindak.

“Oleh itu, saya mengatur perbincangaan ini bersama-sama LBU dan JKR untuk membantu orang ramai,” jelasnya.
Katanya, projek tersebut bakal siap sepenuhnya pada 5 Januari 2021.

“Tetapi, dalam tempoh enam bulan lagi kerja-kerja asas yang berat akan siap dan kesesakan lalu lintas dapat diatasi. Saya berharap agar orang ramai yang melalui jalan tersebut bersabar,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan jalan yang tidak rata berdekatan lampu isyarat di Jalan Batu 7 akan dibaik pulih sebelum Krismas.

“Pihak LBU akan meratakan jalan yang tidak rata. “Saya lega dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak LBU dan JKR untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Suara Sarawak