KUCHING: Atlet para Sarawak berjaya meraih 11 pingat emas, 10 perak dan tujuh gangsa pada Sukan Para Asean ke-12 di Phnom Penh, Kemboja setakat hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWK), atlet para Sarawak telah menyumbang dan menambah kutipan pingat emas kepada kontinjen Malaysia.
“Tiga perenang Sarawak iaitu Fraidden Dawan dari Bintulu berjaya mempertahankan pingat emasnya dalam acara rampaian 200m individu lelaki (S10) di Pusat Akuatik Morodok Techo.
“Sementara Rusdianto Rusmadi meraih perak dalam acara rampaian individu lelaki (S8) 200m manakala Muhammad Nur Syaiful Zulkafli meraih emas dalam acara 50m gaya bebas lelaki (S5) dengan catatan peribadi 33.14,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan KPWK lagi, kontinjen Malaysia berjaya menawan 42 pingat emas, 35 perak, dan 26 gangsa, dengan atlet para Sarawak menyumbang 11 emas, 10 perak dan tujuh pingat gangsa.
Berdasarkan prestasi memberangsangkan tersebut, kontinjen Malaysia berjaya mengatasi sasaran 33 pingat emas, jelas kenyataan itu.
Menteri KPWK Datuk Seri Fatimah Abdullah turut hadir di pusat akuatik di Phnom Penh, Kemboja untuk menganugerahkan pingat, manakala timbalan menteri KPWK Mohd Razi Sitam menyampaikan maskot rasmi kepada pemenang bagi acara renang.