ARTIKEL

Atlet pekak harumkan S’wak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PADA 3 Disember lalu, Sukan Orang Pekak Malaysia XXI (SOPMA XXI) kembali membuka tirai selepas penangguhan akibat kekangan pandemik COVID-19.

Kali terakhir diadakan pada 2018 dengan Perak sebagai tuan rumah.

Kali ini Kuala Lumpur terpilih sebagai tuan rumah untuk sukan ini.

SOPMA XXI diadakan pada 3 hingga 7 Disember dan majlis perbukaan untuk temasya SOPMA XXI ini dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh pada 3 Disember di Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur.

Terdapat lima kategori acara yang dipertandingkan iaitu bola sepak, futsal, olahraga, badminton dan tenpin boling.

Semua atlet dari 14 negeri dari seluruh Malaysia bersaing untuk meraih kemenangan bagi mengharumkan negeri masing-masing.

Sarawak juga tidak terkecuali.

Kali ini, seramai 14 atlet mewakili kontinjen Sarawak dan mereka bertanding dalam tiga acara iaitu olahraga, tenpin boling dan badminton.

Acara olahraga diwakili oleh dua orang atlet, tenpin boling seramai tujuh orang atlet manakala acara badminton pula seramai lima orang atlet.

Kesemua atlet ini diiringi oleh 11 orang pegawai termasuk jurulatih dan jurubahasa isyarat bersamasama mereka.

Kesemua atlet yang bertanding dan juga pegawai terdiri daripada ahli Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SSDeaf).

Persatuan ini ditubuhkan pada Februari tahun 2013 dan pengerusi persatuan untuk masa kini ialah Ko Ming Liang dari Sibu.

Persiapan SOPMA XXI

Setiap persatuan yang ditubuhkan pasti menginginkan yang terbaik untuk anggotanya.

Begitu juga SSDeaf. Bagi memastikan kesihatan para atlet sentiasa berada dalam tahap yang memuaskan, semua Exco akan menjaga atlet mereka semasa latihan.

Sekiranya atlet tidak sihat, mereka perlu memaklumkan kepada Exco dan mendapatkan rawatan dengan segera sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Antara persiapan lain SSDeaf bagi SOPMA XXI kali ini adalah pembelian tiket pergi dan balik untuk kesemua pegawai dan atlet manakala penginapan sudah disediakan oleh Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf).

Dari segi latihan pula, mereka kekurangan dana untuk mengumpulkan kesemua atlet termasuk atlet di luar Kuching seperti Sibu, Miri dan Bintulu untuk berlatih secara lebih intensif.

Hal ini kerana ketiadaan pusat latihan utama yang mengumpulkan kesemua atlet.

Maka kesemua atlet terpaksa berlatih sendiri dengan menggunakan wang sendiri.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang kepada para atlet.

Mereka telah berlatih bersungguhsungguh demi mengharumkan nama Sarawak kerana mereka ingin menyumbangkan pingat untuk negeri tercinta.

Cabaran dan usaha

“Cabaran terbesar sepanjang persediaan untuk SOPMA XXI kali ini ialah dana,” kata Yong Phil Ping, Timbalan Bendahari SSDeaf.

Beliau turut berkata, antara usaha mereka untuk menambah dana untuk kontinjen Sarawak bagi SOPMA XXI adalah dengan meminta sumbangan daripada syarikat swasta.

Berkat usaha mereka dan juga sokongan syarikat swasta, SSDeaf berjaya mendapat beberapa tajaan untuk baju dan itu sedikit sebanyak membantu persatuan untuk persediaan SOPMA XXI.

Bagaimanapun ketibaan kesemua atlet dan pegawai kontinjen Sarawak di Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu membuktikan cabaran tersebut bukanlah penghalang malah ia menjadi batu loncatan kepada mereka untuk berusaha lebih keras.

Mereka tidak menjadikan keterbatasan kewangan itu sebagai satu alasan untuk mereka berhenti berusaha untuk mengharumkan nama Sarawak.

Cari atlet baharu Menurut Naib Presiden SSDeaf Nur Malihah Chai Abdullah, oleh kerana mereka menghadapi masalah kewangan bukan sahaja untuk persediaan SOPMA XXI, persatuan belum lagi berkemampuan untuk melaksanakan pencarian ahli persatuan sekali gus atlet baharu bagi SSDeaf.

Hal ini kerana mereka memerlukan pihak atasan yang terlibat untuk bekerjasama dengan pihak persatuan kerana mereka memerlukan bimbingan dan panduan.

Mereka sedia maklum bahawa sememangnya ramai lagi golongan pekak seperti mereka yang berbakat dan amat menyukai sukan terutamanya di kawasan pedalaman.

Namun atas kekangan kewangan dan juga sokongan masyarakat, mereka mengalami kesukaran dalam melaksanakan pencarian tersebut

Justeru itu, tekanan pasti dirasai semasa SOPMA XXI terutama untuk acara olahraga kerana hanya dua orang atlet sahaja yang mewakili Sarawak untuk acara tersebut. Harapan

“Saya mewakili semua Exco berharap agar kesemua atlet boleh berlatih dengan lebih rajin agar dapat meraih pingat sekali gus membuktikan kemampuan mereka,” kata Nur Malihah.

Beliau juga berharap pihak kerajaan dan masyarakat memberikan lebih perhatian kepada persatuan ini dan juga komuniti orang pekak di Malaysia.

“Saya juga berharap mereka membantu kami dalam memberikan panduan untuk melangkah lebih jauh agar kami boleh mencapai peringkat yang lebih tinggi dan juga mencari lebih ramai atlet berbakat di Sarawak. Kami, komuniti orang pekak mahu melibatkan diri dalam sukan,” luah Naib Presiden SSDeaf itu.

Komuniti orang pekak ini perlu diberikan perhatian kerana golongan ini juga seperti insan biasa yang lain

. Mereka hanya dikurniakan keistimewaan yang menjadikan mereka sedikit berbeza dengan orang lain namun perbezaan itu bukan bermaksud mereka harus disisihkan

Tanpa sebarang kata-kata dari suara tidak bermaksud mereka ini mendiamkan diri.

Mereka mempunyai semangat yang tinggi dan tidak akan berputus asa dalam memperjuangkan sesuatu hal yang mereka cintai.

Mereka juga mampu menyumbang pingat dan memajukan sukan negara bahkan pada keputusan setakat 5 Disember, atlet SSDeaf yang mewakili kontinjen Sarawak iaitu Sia Chew Ing telah menyumbang pingat emas dalam acara tenpin boling untuk kategori Individu Wanita.

Kontinjen Sarawak terus menguasai acara tenpin boling dengan memenangi pingat emas untuk kategori Beregu Lelaki dan pingat perak untuk kategori Beregu Wanita.

Bagi acara olahraga pula, pingat gangsa berjaya disumbangkan oleh Chan Khing Hing dalam acara melempar cakera lelaki.

Ini jelas terbukti SSDeaf ini perlu diberikan sokongan masyarakat dan kerajaan dalam semua aspek supaya mereka boleh melangkah lebih maju dalam bidang sukan.

  • Artikel ini ditulis oleh pelajar daripada Program Komunikasi Strategik di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS.

LAIN-LAIN BERITA

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU