KUCHING: Atlet powerlifting Sarawak yang mewakili negara ke temasya Sukan Para Asean, Kemboja 2023 diyakini mampu meraih pingat dalam acara masing-masing.
Biarpun diketahui penampilan mereka pada temasya dwitahunan itu agak mencabar dengan penyertaan sama atlet handalan seluruh rantau Asia Tenggara.
Ketua jurulatih Jamil Adam memberitahu, beliau yakin ada kilauan pingat dapat dibawa pulang atlet Sarawak pada temasya itu kelak.
“Dengan persiapan serta bakat luar biasa dimiliki atlet terbabit, saya yakin mereka dapat membawa pulang pingat pada kejohanan itu kelak,” jelas Jamil kepada Arena Suara Sarawak.
Lima atlet powerlifting Sarawak yang bertanding di temasya itu termasuk Azlan Mos (59kg), Bryan Junency Gustin (80kg), Nicodemus Manggoi Moses (88kg), Bibiana Ahmad (67kg) dan Sona Agon (73kg).