ATM bantu penguatkuasaan PKP di Sarawak

KUCHING: Seramai 126 anggota pasukan Rejimen 511 Askar Wataniah dari Kuching akan diatur gerak ke Sibu dalam masa terdekat.

Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa menegaskan ia sebagai salah satu tindakan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Penawar bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Selain itu seramai 131 anggota Tentera Darat dari pasukan di bawah naungan 1 Divisyen masing-masing akan diatur gerak ke 16 lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) merangkumi tiga di Kuching, lapan di Sibu, tiga di Miri dan dua di Bintulu.

“Manakala 102 anggota pula dikerahkan bersama PDRM dalam perlaksanaan rondaan berkenderaan (MPV) di 17 lokasi berasingan di seluruh Sarawak.

“67 lagi anggota sebagai pasukan pemantauan pematuhan di 11 lokasi dan seramai 111 anggota diatur gerak ke 19 lokasi rumah panjang di Sri Aman, Serian Sebauh dan juga Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang ditemui ketika membuat tinjauan SJR di Suba Buan, Bau hari ini menambah penguatkuasaan PKP turut dilaksanakan di pos-pos sempadan termasuk pos Serikin, Tebedu, Balai Ringin, Lubok Antu dan Teluk Melano bersama Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Terdahulu katanya sebanyak 620 Pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 37 tekong telah ditahan bersama nilai rampasan sebanyak RM3,281, 014.37 direkodkan hasil Op Awas sepanjang perlaksanaan Op Benteng sejak Mei hingga Disember tahun lalu.

Manakala katanya sebanyak 71 Pati, lima tekong dan RM249,701 nilai rampasan dicatatkan bagi Januari ini.

Turut hadir semasa lawatan Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Bau ASP Mohd Farid Abd Ghani.