ATM santuni dua veteran askar

LUBOK ANTU: Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa bersama Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad meluangkan masa menyantuni dua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tinggal di kampung berhampiran dengan Pos JPG Lubuk Antu.

Dalam kunjungan itu, Dzulkafli dan Azhar telah memberikan sumbangan wang tunai, barangan keperluan asas seperti beras dan gula kepada Sarjan Kumpang Badak dan Koperal Indo Impin, yang sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mereka.

Kumpang dan Indo merupakan veteran yang telah berkhidmat dan menabur bakti sewaktu zaman konfrontasi, dan telah menamatkan perkhidmatan masing-masing pada awal tahun 90-an.

“Rangka kunjungan kebajikan ini merupakan kemuncak kepada kelangsungan Program Jiwa Murni yang telah dilaksanakan di sektor-sektor berbeza di bawah pengoperasian di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat.

Indo menerima sumbangan daripada Zulkafli.

“Meskipun kawalan persempadanan menjadi fokus utama pasukan yang berkawal, pasukan turut komited melaksanakan program-program kemasyarakatan,” kata Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kumpang, 69, yang menetap di Batu Bebini Baroh menamatkan perkhidmatan pada 1994 dan unit terakhirnya ialah 3 Kompeni Angkut KPD.

Manakala Indo, 69, yang menetap di Ensawang, Lubuk Antu menamatkan perkhidmatan di pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja pada 1992 setelah 19 tahun
berkhidmat.

Terdahulu, Dzulkafli telah mengadakan lawatan kerja ke Pos JPG Lubok Antu bagi meninjau tahap kesigapan pasukan yang bertugas di persempadanan.

Suara Sarawak