
KUCHING: Pelbagai program dan kursus berkaitan pembangunan usahawan akan dijalankan secara meluas di Sarawak.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, majoriti usahawan di negeri ini memberikan respon positif dalam program yang dianjurkan beliau, semalam.
Menurutnya, antara pendekatan yang diketengahkan termasuk mewujudkan mesin ATM bergerak di beberapa kawasan pinggir bandar.
“Langkah pertama yang kita buat adalah mewujudkan mesin ATM bergerak.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memberikan usaha bank bergerak kepada rakyat. Banyak sumbangan diberikan kepada rakyat untuk kita sama-sama membantu usahawan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Selain itu katanya, pihaknya turut dalam perbincangan untuk membuka cawangan Bank Rakyat di Kalimantan dan Lundu bagi meningkatkan aktiviti usahawan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Tambahnya, ia susulan kerjasama di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Bank Rakyat dalam memberi peluang pembiayaan kepada usahawan-usahawan tempatan untuk memulakan perniagaan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar menegaskan persefahaman tersebut merupakan gerakan penting membangunkan usahawan di negeri ini.
“Sekarang ini sukar untuk mencari sumber kewangan untuk memulakan perniagaan terutama selepas Covid-19.
“Kita harapkan dengan bantuan Bank Rakyat, tiada cas akan dikenakan kepada usahawan ini,” ujarnya.