MEDIA sosial merupakan satu rangkaian komunikasi dalam talian yang menghubungkan pengguna dari serata dunia. Melalui media sosial, pelbagai manfaat yang kita peroleh.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada cara dan akhlak kita menggunakan platform ini untuk menyampaikan hasrat mengikut keperluan masing-masing.
Seperti yang kita lihat, sistem media sosial akan sentiasa berubah-ubah dan dikemas kini mengikut perkembangan semasa. Ini termasuk kemunculan pelbagai aplikasi baharu yang dilengkapi teknologi canggih.
Jika dilihat, penggunaan media sosial pada masa kini tidak terbatas, bertepatan dengan keadaan yang melanda masyarakat. Semua lapisan masyarakat memerlukannya tanpa mengira umur kerana kepentingannya kepada semua orang.
Perkara ini berbeza dengan situasi kita beberapa tahun lalu, yang tidak menggalakkan penggunaan media sosial terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Jika dahulu, media sosial hanya tertumpu sebagai alat untuk menghubungkan orang ramai mengikut fungsi aplikasi tersebut. Seiring peredaran waktu, ramai yang menggunakan platform ini untuk menjalankan perniagaan serta menampilkan bakat-bakat yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan.
Meskipun platform ini banyak memberi kesan baik kepada kita, namun harus diingat bahawa penggunaan tanpa sempadan boleh memusnahkan keperibadian seseorang. Ini jelas kerana medium media sosial begitu terbuka dan bebas digunakan.
Perkara ini merupakan satu masalah bagi semua pihak sekiranya masih ramai yang tidak menggunakan medium ini secara terkawal dan berwibawa. Antaranya ia boleh menimbulkan pergaduhan, perpecahan, salah faham dan beberapa perkara buruk yang lain.
Kita boleh melihat sendiri impak-impak ini di sekeliling, ramai yang memilih untuk melepaskan kemarahan dan emosi menerusi platform media sosial.
Sebagai masyarakat prihatin, kita seharusnya melihat perkara ini sebagai satu beban kerana ia boleh meruntuhkan keamanan dan keharmonian. Ini adalah untuk kebaikan bersama memandangkan negara kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan budaya.
Untuk itu, semua perlu memainkan peranan masing-masing dan jangan memandang enteng sesuatu isu negatif yang dipaparkan di media sosial. Kita perlu menunjukkan contoh yang baik dalam penggunaan media sosial untuk menyebarkan aura positif sebagai panduan untuk diamalkan semua orang.
Tindakan ini juga kerana medium media sosial merupakan platform yang sesuai sebagai ikutan masyarakat masa kini. Selain menggunakannya sebagai platform untuk berhibur dan menjana pendapatan, ada baiknya kita merebut peluang ini untuk mendidik masyarakat setempat melakukan kebaikan bagi mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan sedia ada.
Oleh itu, marilah kita samasama bergerak ke arah perkara yang lebih memberi manfaat dan keuntungan untuk bangsa dan negara. Gunalah paltform media sosial dengan bijak dan abaikan aura negatif yang disampaikan melalui aplikasi di media sosial.