ARTIKEL

Australia mahu haramkan vape

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SYDNEY: Kerajaan Australia bercadang mengetatkan undang-undang berkaitan rokok elektronik atau e-rokok, termasuk memperkenalkan kawalan baharu ke atas import dan pembungkusan bagi menghapuskan vape terutama dalam kalangan kanakkanak.

Cadangan itu memperlihatkan tindakan keras terbesar terhadap industri tembakau di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah mengharamkan semua vape pakai buang dan import vape bukan preskripsi, menyekat perisa dan warna serta mengurangkan tahap nikotin dibenarkan.

Susulan peraturan baharu itu, peranti elektronik itu hanya dibenarkan dijual sebagai produk untuk membantu perokok berhenti tabiat buruk itu.

“Sama seperti mereka lakukan dengan merokok, Big Tobacco mengambil satu lagi produk ketagihan, membungkusnya dalam pembungkusan berkilat dan menambah perisa untuk mencipta generasi baru penagih nikotin,” kata Menteri Kesihatan Australia, Mark Butler.

Ia terkandung dalam ucapan beliau di Kelab Wartawan Kebangsaan, yang dilihat oleh wartawan Reuters.

Di bawah peraturan baharu, vape dikehendaki mempunyai pembungkusan jenis farmaseutikal.

Budaya vape, secara meluas dilihat sebagai alternatif yang lebih selamat untuk penghisap rokok dan produk untuk membantu perokok berhenti.

Baca lain  Rakyat Amerika alami cuaca panas melampau

Ia membabitkan pemanasan cecair yang mengandungi nikotin dalam apa yang dipanggil e-rokok dan mengubahnya menjadi wap yang disedut oleh pengguna.

Bagaimanapun, Butler menyatakan vape sudah menjadi produk rekreasi sekarang, kebanyakannya dijual kepada remaja dan golongan muda.

“Ia adalah produk yang disasarkan kepada anak-anak kita, dijual bersama gula-gula dan coklat.

“Menghisap vape menjadi isu tingkah laku nombor satu di sekolah menengah dan amalan ini semakin meluas di sekolah rendah,” katanya.

Belanjawan Persekutuan yang akan dikeluarkan minggu depan, bakal merangkumi AUS$234 juta (RM691.22 juta) untuk membiayai langkah baharu bagi melindungi daripada bahaya produk tembakau dan vape, menurut petikan ucapan itu.

Australia mempunyai salah satu undang-undang antimerokok paling keras di dunia selepas negara itu pada 2012 memaksa pengeluar untuk meninggalkan penjenamaan berwarna-warni yang berbeza dan menjual rokok mereka dalam paket yang seragam tanpa perhiasan.

Firma tembakau segera beralih kepada e-rokok yang menawarkan perisa berbeza dan reka bentuk yang dicipta dengan menyasarkan generasi pengguna baharu.

BERITA LAIN

Banjir lahar sejuk landa Jawa Timur

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 32 keluarga di Lumajang, Jawa Timur dipindahkan secara sukarela ke kawasan lebih selamat susulan limpahan banjir lahar sejuk yang dicetuskan Gunung Semeru pada

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,