Awang Tengah rasmikan majlis pecah tanah surau berharga RM799,994

LAWAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merasmikan simbolik pecah tanah surau Kampung Serdang, di sini petang tadi.

Surau yang bernilai RM799,994 itu, yang terletak di tepi laluan utama Lawas ke Sabah dijangka siap pada May tahun depan.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis tersebut, pelan asal surau tersebut telah diubah atas arahannya kerana berpendapat saiz asal adalah terlalu kecil.

“Syukur setelah perubahan dilakukan pada pelan, surau ini apabila siap kelak akan mampu menempatkan sehingga 350 orang jemaah pada satu masa,” kata Datuk Amar Awang Tengah.

Dalam perkara lain, beliau menyeru warga Lawas untuk sentiasa menyokong usaha pembangunan yang dibawa kerajaan negeri.

“Setelah kerajaan pusat bertukar, banyak dana-dana tidak lagi kita terima dan kerajaan negeri banyak mengeluarkan wang sendiri untuk melaksanakan projek-projek strategik,”

“Justeru, adalah penting agar Sarawak terus ditadbir oleh pemimpin tempatan kerana banyak lagi usaha pembangunan yang perlu dilaksanakan,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, dan Adun Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.

Suara Sarawak