KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru para pengundi untuk mengundi GPS pada esok hari, dalam PRN-12 Sarawak.
Menurutnya yang juga Timbalan Ketua Menteri, ia bagi meneruskan usaha pembangunan di Bukit Sari sekali gus memastikan kebajikan masyarakat negeri ini terus dijaga.
“Setelah mengharungi tempoh berkempen selama 12 hari, saya percaya rakyat telah berfikir panjang serta akan membuat keputusan yang terbaik untuk memilih siapa yang akan mewakili mereka nanti,” katanya dalan perutusan menerusi rakaman video hari ini.
Jelasnya, dengan adanya pilihan raya ini, ia membuktikan bahawa sistem demokrasi yang diamalkan memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan pemimpin pilihan mereka.
“Kita akan mewujudkan asas-asas yang kukuh untuk membina masa depan generasi muda kita kelak,” katanya.
Tambahnya lagi, hanya GPS sahaja yang berusaha untuk memastikan semua hak Sarawak diperjuangkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Pemerintah (IGC).
“Azam kita ialah untuk meneruskan usaha-usaha pembangunan dan membela kebajikan masyarakat terutama menjamin masa hadapan generasi muda.
“Justeru, saya berharap anda semua laksanakan tanggungjawab dengan turun mengundi esok,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua barisan petugas PRN-12, petugas keselamatan dan jentera parti yang telah bertungkus lumus sepanjang tempoh berkempen untuk meraih undi, tetapi dalam masa yang sama sentiasa menjaga Standard Operasi Standard (SOP).
“Sehubungan itu, saya mendoakan agar kita semua sentiasa selamat dalam situasi kerajaan yang masih memerangi pandemik Covid-19 ini.
“Oleh itu, patuhilah SOP yang ditetapkan dan jalankan tanggungjawab anda esok. Selamat mengundi dan undilah GPS untuk masa depan kita,” katanya.
Awang Tengah berhadapan dengan calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam saingan tiga penjuru pada pilihan raya kali ini.