KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Dr Beh Swan Gin, di Dewan Undangan Negeri pada Rabu.
Awang Tengah turut mengalu-alukan lawatan pertama Beh Swan Gin ke Sarawak selepas pelantikan jawatannya.
Semasa kunjungan tersebut, Awang Tengah turut bertukar idea dan pandangan berkenaan beberapa perkara melibatkan kerjasama antara Sarawak dengan Singapura.
Antaranya melibatkan ekonomi hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan, pelancongan, penangkapan karbon, penyimpanan dan pertukaran, sekuriti makanan serta pertanian.
Selain itu, Singapura juga merupakan antara rakan perdagangan penting Sarawak.
Pada 2022, jumlah perdagangan Sarawak dengan Singapura adalah sebanyak RM5.18 bilion iaitu eksport berjumlah RM1.79 bilion manakala import RM3.38 bilion.
Mengulas lanjut, barangan tertinggi diniagakan ialah petroleum dan bahan api mineral, mesin elektrik, haiwan hidup, kapal, bot serta plastik.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Malcolm Mussen Lamoh; Penasihat MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Zaidi Mahdi; Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Abdullah Julaihi serta tetamu lain.