Awas JPJ Sarawak menyamar untuk kesan pemandu langgar peraturan

SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sarawak akan menumpukan penguatkuasaan secara menyamar sebagai penumpang kenderaan pengangkutan awam sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2020, mulai semalam sehingga 2 Feb.

Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata anggota JPJ yang menyamar, akan merakamkan gambar dan merekodkan kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan awam terbabit sehingga sampai ke destinasi.

“Sampai sahaja di destinasi, mereka akan mengeluarkan saman (kepada pemandu). Kita tidak mahu mengeluarkan saman di tengah jalan, nanti keadaan menjadi huru-hara jika dia (pemandu) enggan meneruskan perjalanan dan menurunkan penumpang pula,” katanya selepas melancarkan Ops Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat JPJ Sarawak di sini, semalam.

Beliau bagaimana pun enggan mendedahkan jumlah anggota JPJ yang terbabit dalam penguatkuasaan secara menyamar itu di seluruh Sarawak itu, tetapi memberitahu bahawa pihaknya akan menggerakkan anggota jabatan itu di Kuching, Sibu dan Miri bagi melakukan penguatkuasaan itu.

“Setiap perjalanan akan ada seramai dua anggota JPJ yang menyamar dalam bas sehingga sampai ke destinasi,” katanya.

Mohd Syafiq berkata penguatkuasaan Ops itu akan turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan kenderaan di terminal bas dan menjalankan rondaan sepanjang laluan Pan Borneo dari Kuching sehingga Limbang.

Menurutnya selain itu JPJ Sarawak juga akan melaksanakan larangan lori tertentu berada di atas jalan raya seperti di Semenanjung, ketika Operasi Tahun Baharu Cina 2020 ini, iaitu dua hari sebelum perayaan iaitu dari 23 sehingga 24 Januari depan dan dua hari selepas perayaan iaitu dari 27 hingga 28 Januari depan.

“Kita jangkakan pergerakan (lalulintas) macam biasa, sebab tidak banyak lori yang beroperasi hari biasa pun, dan sama seperti musim perayaan, cuma kita (di Sarawak) tertakluk kepada arahan yang seragam dari ibu pejabat JPJ,” katanya.

Katanya pada Ops Tahun Baharu Cina di Sarawak tahun lepas, keseluruhannya 13,252 kenderaan telah diperiksa dengan 1, 493 kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.– BERNAMA

Suara Sarawak