SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.
Saya tidak mengenali pemanggil disebabkan nombor tersebut tidak disimpan.
Pemanggil kemudian memperkenalkan diri, ruparupanya pemanggil tersebut merupakan rakan sekolah saya.
Sudah hampir 20 tahun kami tidak berjumpa disebabkan kesibukan kerja dan urusan seharian.
Rakan lama saya memaklumkan dia mendapat nombor telefon saya daripada rakan sekolah kami.
Dia kemudian mengajak saya untuk bertemu dan menikmati sarapan pagi. Pada Rabu, kami bertemu di sebuah kedai kopi di Satok untuk menikmati Laksa Sarawak.
Apabila lama tidak bertemu, sudah banyak perkara yang kami bualkan termasuk perihal keluarga, kerja dan kehidupan yang semakin mencabar sekarang.
Satu perkara yang menarik perhatian saya, dia memaklumkan hampir ditipu sindiket penipuan dalam talian.
Dia mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali memaklumkan mewakili pihak berkuasa.
Ragu dengan panggilan tersebut, dia kemudian mendapatkan kesasihan daripada pihak polis mengenai perkara tersebut.
Rakan saya ini mungkin bernasib baik kerana melakukan tindakan bijak dengan mendapatkan kesasihan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi seperti diarahkan.
Sebenarnya kejadian ditipu pihak tidak bertanggungjawab atau scammer sudah lama berlaku di negara ini.
Sekitar satu dekad dahulu, kisah taktik penipuan putera dari Nigeria yang memohon bantuan bagi membolehkan hartanya dilepaskan pihak berkuasa menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat kita.
Jika difikirkan secara logik, wujud terlalu banyak kelompangan dalam kisah yang cuba diceritakan putera itu, namun masih ada rakyat negara ini terpukau dengan janji ganjaran lumayan yang ditawarkan.
Seorang scammer memang bijak memanipulasi psikologi mangsa dan pepatah Melayu ‘orang tamak selalu rugi’ terbukti benar kerana kebanyakan kes penipuan melibatkan ganjaran yang belum terbukti kebenarannya.
Malangnya sekarang taktik penipuan semakin berkembang — sentiasa ada taktik baharu bagi mempermainkan minda sehingga ramai yang terpedaya.
Sindiket kerja sampingan mudah dengan gaji lumayan antara taktik terkini penipuan yang berlaku di negara kita.
Biasanya sindiket ini menawarkan kerja separuh masa menerusi WhatsApp atau Telegram yang memerlukan kita melanggan akaun Youtube tertentu dengan bayaran RM10 setiap satu.
Ramai yang terpesona kerana sindiket akan membayar khidmat pada peringkat awal dan meyakinkan anda apa-apa yang dilakukan benar-benar berbaloi.
Selepas menjalankan kerja mudah, peserta akan diarahkan menyertai skim yang memerlukan pemindahan wang ke akaun ditetapkan dan mendapat ganjaran selepas tugasan selesai.
Sebagai contoh, jika kita memindahkan RM100, kita mungkin ditawarkan RM130. Biasanya untuk dua pindahan pertama, anda akan menerima amaun seperti dijanjikan.
Apabila sudah terjerat, sindiket akan mendesak anda untuk melakukan pelaburan lebih besar sehingga ke tahap wang tidak dikembalikan.
Selain itu, terdapat penipuan dengan kaedah menyamar sebagai pihak berkuasa atau pegawai institusi — kita sudah pasti berasa aneh bagaimana lakonan scammer yang menjadi sebagai pegawai LHDN, polis, bank, majlis perbandaran dan sebagainya berjaya memperdayakan ramai orang.
Tetapi kita harus sedar taktik penyamaran ini kerap berjaya kerana digunakan sindiket dengan memanipulasi rasa bimbang mangsa.
Apabila berasa bimbang, fikiran kita mudah hilang kewarasan atau takut sesuatu lebih buruk menimpa kita.
Scammer akan menelefon mangsa dan mengingaktkan tentang tuntutan saman, cukai tertunggak, hutang dan sebagainya.
Mereka menuntut bayaran dilakukan sertamerta sekiranya tidak mahu saman atau denda tambahan dikenakan.
Paling menakutkan mangsa, panggilan scammer ini dibuat daripada nombor sebenar yang dimanipulasi menggunakan aplikasi untuk menukarkan nombor tertera kepada pejabat atau badan tertentu.
Sejak akhir-akhir ini, penipuan log masuk di laman atau aplikasi palsu dilihat semakin berleluasa.
Taktik ini mungkin sukar untuk dikenal pasti kerana kita tidak berinteraksi dengan manusia Sebaliknya, kita hanya menerima mesej atau e-mel yang meminta untuk log masuk ke satu pautan yang dikongsikan.
Pautan itu pula dihubungkan dengan aplikasi atau laman web yang direka bentuk agar menyerupai laman web rasmi. Selepas menekan pautan palsu, mangsa yang gopoh akan terus memasukkan nama akaun dan kata laluan membolehkan data tersebut direkodkan ke dalam sistem maklumat scammer.
Muat turun aplikasi palsu turut menjadi taktik penipuan ketika ini.
Bagi mangsa, ini mungkin taktik paling sukar dikesan.
Taktik ini pernah menggemparkan masyarakat kita selepas ramai pengguna aplikasi dalam talian kehilangan duit selepas memuat turun aplikasi ke telefon bimbit.
Biasanya taktik ini sangat berkesan terhadap pengguna yang mudah tertarik dengan tawaran perkhidmatan murah — biasanya penggunakan ditawarkan diskaun hampir 50 peratus.
Kita sepatutnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah dan pantas memuat turun aplikasi tanpa benar-benar memeriksa sumbernya.
Walaupun anda seorang yang berhati-hati, scammer akan sentiasa berusaha mendapatkan wang dan maklumat peribadi anda.
Jadi, jangan mudah percaya apa-apa yang anda lihat atau dengar! Semak terlebih dahulu sebelum anda terpedaya.
Scammer mempunyai 1,001 taktik untuk menipu memandangkan kerja mereka adalah melakukan penipuan.
Jika kita mudah terpedaya, maka kerja mereka akan menjadi lebih senang.