ATLET dan individu yang gemar bersukan biasanya mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding orang yang jarang bersukan. Bagaimanapun, aktiviti fizikal yang sinonim dengan ‘gaya hidup sihat’ ini juga sebenarnya berisiko tinggi mengancam nyawa seseorang. Aktiviti bersukan seperti bermain futsal, mengangkat besi di gimnasium dan bermain badminton terutama pada waktu malam yang kini menjadi gaya hidup warga kota sebenarnya boleh menjadi ‘pembunuh senyap
Ia disebabkan tanpa disedari, individu tersebut mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi atau masalah jantung. Selain itu, aktiviti bersukan pada waktu malam juga boleh membuatkan badan seseorang menjadi letih dan mengganggu waktu tidur.
Malah insiden mati mengejut ketika melakukan aktiviti tersebut bukanlah perkara baharu serta perlu diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh. Kesedaran sememangnya sudah ada dalam kalangan masyarakat untuk memilih gaya hidup sihat, tetapi mereka kurang kesedaran untuk mengetahui status kesihatan sebelum menjalani aktiviti sukan.
Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung.
Katanya, ia disebabkan berlakunya penyumbatan salur darah koronari jantung. Keadaan ini katanya, dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan doktor selain ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan.
Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Ini kerana, bukan semua aktiviti fizikal sesuai untuk kita,” katanya. Justeru, trend semasa orang ramai yang ingin menyertai sukan ekstrem atau yang memerlukan daya ketahanan, kecergasan fizikal tinggi boleh membahayakan sekiranya ada kelainan jantung yang tidak dikenalpasti terlebih dahulu.
Namun, permasalahan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baharu berjinak dalam sukan, bahkan golongan aktif aktiviti fizikal juga tidak terkecuali. Malah, terdapat beberapa atlet tempatan mahupun luar negara yang masih muda dilaporkan meninggal dunia secara mengejut ketika beraksi di padang.
Disebabkan itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala sama ada bagi atlet, golongan aktif bersukan mahupun baharu berjinak-jinak dalam aktiviti berkenaan amat penting. Ia susulan dapat mengelak sebarang risiko kesihatan yang tidak dijangka ketika bersukan.
Contohnya, seseorang atlet akan mengetahui status kesihatan mereka sebelum terlibat dalam sesuatu perlawanan, sama ada mempunyai kapasiti untuk tingkatkan lagi tahap kecergasan mereka atau sebaliknya. Walaupun ada kalanya seseorang yang aktif bersukan kelihatan dalam keadaan sihat berbanding yang lain, namun mereka masih perlu melakukan pemeriksaan berkala untuk menangani masalah yang mungkin tidak diketahui.
Ada yang berkata amalan gaya hidup sihat bermula dengan pemakanan sihat. Ada juga menyentuh soal senaman dan aktiviti fizikal. Tidak kurang juga menyarankan agar kita mengelakkan diri daripada tabiat dan pemakanan yang kurang sihat. Bagi memulakan gaya hidup sihat, kita perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti penjagaan makanan, kesihatan mental dan aktiviti fizikal. Ramai yang cakna mengenai ini tetapi malas untuk mulakannya.
Sementara itu, bagi memastikan Malaysia Sihat Sejahtera, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilancarkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 11 November 2021. ANMS dilaksanakan dalam empat fasa bermula 2020 hingga 2030 itu adalah pelan bagi menyiapkan Keluarga Malaysia supaya mempunyai ketahanan atau imuniti badan yang tinggi menerusi pembudayaan hidup sihat, pengambilan vaksin, kawalan kendiri kesihatan dan amalan norma baharu serta amalan kebersihan persekitaran. Tingkah laku ini tidak terhad kepada melindungi rakyat daripada penyakit berjangkit seperti Covid-19, malah penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung yang menjadi pembunuh senyap serta punca utama kematian di negara ini. Keadaan itu juga berpunca daripada budaya hidup tidak sihat. Ini kerana, sistem imun badan yang kuat penting untuk mencegah penyakit dan budaya hidup sihat konsisten berupaya memperkukuhkan imuniti tubuh bagi mencegah serta melawan penyakit.