Ayuh semua, pakai pelitup muka!

PENULARAN wabak Covid-19 kini semakin parah, dengan ribuan orang dijangkiti setiap hari dan kadar kematian yang semakin meningkat.

Namun, dalam kebimbangan terhadap penularan pandemik ini, masyarakat seakan-akan terus alpa tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Peringatan demi peringatan diberikan setiap hari tetapi peringatan tersebut seakan tidak dipedulikan, sebaliknya orang ramai terus keluar dan berkumpul.

Malah begitu banyak dan pelbagai mesej yang disampaikan agar orang awam mematuhi SOP.

Apa yang menarik perhatian, terdapat cara penyampaian mesej ini yang begitu kreatif tetapi memberi kesan yang mendalam terhadap orang ramai.

Antara cara penyampaian tersebut ialah menampilkan imej menggunakan pelitup muka bagi memberi kesedaran kepada umum agar terus melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 dan mematuhi SOP.

Meneliti satu hantaran yang tular di media sosial, terdapat sesetengah individu yang memuat naik imej dan hantaran yang menggandakan pemakaian pelitup muka berserta kapsyen berkaitan SOP dalam mengekang pandemik Covid-19 di negara ini.

Kasar bunyinya tetapi memberi maksud cukup mendalam.

Itulah mesej yang cuba disampaikan bagi mereka masih tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Walaupun imej tersebut mencuit hati, tetapi tindakan individu berkenaan harus dipuji memandangkan dia mengambil berat saranan kerajaan untuk sentiasa mengamalkan SOP dalam rutin harian semua masyarakat.

Dalam berseloroh, ada tegasnya bagi pemilik akaun media sosial tersebut kerana ia satu usaha yang cuba disampaikan golongan prihatin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan jumlah kematian cukup membimbangkan.

Ketika ini, masyarakat tahu dan akur bahawa pelitup muka menjadi keperluan seharian masyarakat semasa keluar rumah atau berada di kawasan tumpuan ramai bagi membendung wabak Covid-19 terus menular.

Memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sememangnya dua amalan utama yang sentiasa dipatuhi dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Di negara ini, sejak 1 Ogos 2020, rakyat diwajibkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan tumpuan awam.

Mereka yang ingkar boleh ditahan dan berhadapan saman.

Dalam keadaan kes yang sedang meningkat, diharapkan orang ramai kekal patuh kepada arahan kerajaan dan berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain.

Warga Sarawak tidak mahu kembali kepada penguncian total kerana banyak sektor yang akan terjejas, sedangkan pada hari ini juga banyak perniagaan terpaksa menghentikan operasi dan tidak kurang yang sedang memanjat untuk kembali stabil.

Justeru, diharapkan semua pihak sentiasa patuh pada SOP yang ditetapkan dan sentiasa menjaga kesihatan.

Negara boleh dan mampu melawan virus ini jika saling bekerjasama dan tidak mementingkan diri sendiri dalam menjalani rutin harian.

Ayuh semuanya, jangan leka.

Pakai pelitup muka jika keluar rumah, di dalam pejabat dan di mana-mana anda berada!

Suara Sarawak