Azam berhenti merokok pada 2020

BARU-BARU ini Kementerian Kesihatan menegaskan larangan merokok di semua kawasan tempat makan di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Januari 2020. Pengumuman ini merupakan berita gembira buat mereka yang mementingkan kesihatan terutama yang bukan perokok.

Langkah ini sememangnya penting dilaksanakan kerana kesan sampingan asap rokok sekunder terutama ke atas wanita hamil dan kanak-kanak berisiko tinggi juga terdedah kepada pelbagai jangkitan berkaitan saluran pernafasan.

Undang-undang tegas perlu dikenakan memandangkan segelintir golongan perokok hanya mementingkan diri sendiri. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, ketika di premis makanan masih ramai perokok menghembuskan asap tanpa mempedulikan orang di sekeliling mereka walaupun ada pelanggan yang terdiri daripada ibu hamil dan kanak-kanak.

Mereka dengan lagak angkuh dan biadab, tidak mempedulikan orang di sekitar seolah-olah kawasan itu milik peribadi mereka.

Walhal kawasan mereka merokok itu ialah tempat awam. Lebih menyakitkan hati ada segelintir ibu bapa atau penjaga yang merokok di depan anak kecil mereka sendiri dan hanya buat ‘bodoh’ tanpa ada perasaan bersalah. Adakah mereka ini sememangnya kurang kesedaran atau langsung tidak sayang dengan nyawa keluarga sendiri? Atau perokok berkenaan memang mempunyai mentaliti kelas ketiga meskipun mereka memiliki kelulusan tinggi? Kebanyakan perokok ini mengambil ringan akan kesan bahaya asap rokok kepada orang ramai serta keluarga sendiri. Ramai yang berfikiran cetek dengan menganggap bahawa dahulu keluarga mereka juga perokok dan percaya semuanya sihat tanpa sebarang masalah walaupun sudah meningkat dewasa.

Jika ini adalah mentaliti anda, ia harus diubah dan anda perlu tahu bahawa asap rokok tetap beracun walaupun secara tidak langsung. Bahaya rokok bukan sahaja berlaku terhadap diri perokok itu sendiri malah turut melibatkan orang sekeliling melalui asap rokok  yang dihasilkan.

Umum mengetahui bahawa anak kecil bukan sahaja terdedah kepada 7,000 jenis bahan beracun asap rokok, malah asap hembusan perokok yang berpenyakit seperti batuk, bronkitis dan penyakit paru-paru turut mengundang risiko.

Laman web kesihatan MyHealth. Alberta turut mendedahkan kesan toksin ini yang ditemui di dalam darah, air kencing, air liur dan susu badan walaupun mangsa terdedah kepada asap rokok dalam jangka masa pendek. Justeru, diharap larangan merokok ini akan menunjukkan perkembangan positif untuk memastikan kawasan tempat awam bebas daripada asap rokok.

Ini kerana kos rawatan kesihatan untuk penyakit berpunca asap rokok di negara kita dilaporkan menjangkau lebih RM3 bilion setahun dan ia dikatakan berlipat kali ganda lebih tinggi daripada kutipan cukai produk tembakau.

Sebelum ini pihak kerajaan menyatakan hasrat untuk memperluaskan skop kawasan larangan merokok ini dari semasa ke semasa pada masa hadapan. Langkah ini wajar kita berikan sokongan sepenuhnya.

Pihak kerajaan tidak perlu melayan kerenah perokok yang akan sentiasa mempertikaikan hasrat kerajaan untuk membendung tabiat merokok kerana merokok tidak akan memberikan faedah kepada rakyat.

Oleh itu, kita harus menyedari betapa pentingnya larangan ini yang mungkin akan memberi kesedaran kepada golongan perokok bahawa ia bukan sahaja melindungi orang ramai tetapi juga ahli keluarga sendiri. Dengan komitmen demi menikmati kesihatan yang lebih baik, saya yakin negara kita khususnya di Sarawak mampu mewujudkan persekitaran yang sihat dan bebas daripada asap toksik rokok.

Mengapa tidak jadikan 2020 sebagai azam untuk berhenti merokok? Harus kita ingat, menjadi hak kita untuk menjaga kesihatan dan melindungi alam sekitar daripada kesan asap rokok. Jika azam tersebut dapat direalisasikan, ia bukan hanya menjimatkan wang, tetapi juga memberi kesan positif terhadap kesihatan. Kepada perokok tegar, belum terlambat untuk berhenti merokok malah ia dialu-alukan demi kesejahteraan kesihatan anda.