ARTIKEL

Gambar Hiasan

Azam mahu turun berat badan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PELAYARAN selama 365 hari pada 2023, kini semakin menuju penamatnya minggu hadapan. Sudah pasti ramai yang mempunyai azam baharu untuk menyambut kedatangan 2024.

Azam baharu ini juga sangat sinonim dengan pertukaran tahun, bahkan ramai juga dalam kalangan kita berkongsi di laman sosial masing-masing mengenai perkara ini. Ada azam tahun ini sudah dilaksana, ada juga yang akan diteruskan pada tahun depan.

Kedengaran agak lucu, tetapi ini yang berlaku dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi berhubung isu obesiti atau kegemukan.

Ia juga sering diperkatakan, bahkan ramai yang ingin menjalani gaya hidup sihat. Disebabkan itu, niat untuk mengamalkan diet dan menguruskan badan menjadi semakin popular.

Namun, saban tahun perlu diakui bahawa azam yang satu ini sering membuatkan ramai orang kecundang. Niat untuk menjaga kesihatan sebenarnya bukan untuk tampil menarik semata-mata tetapi untuk kecergasan diri.

Tahun lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan bahawa kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.

Data tersebut juga diambil berdasarkan Laporan Semakan Populasi Dunia 2019, yang mengatasi Brunei yang mencatatkan 14.1 peratus dan diikuti Thailand 10 peratus dan dan Indonesia sebanyak 6.9 peratus. Dalam hal berkaitan, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr. Nurain Mohd Noor berkata, hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), kadar obesiti dan berat badan berlebihan dicatatkan berada pada paras 44.5 peratus pada 2011 manakala pada 2019, ia meningkat kepada 50.1 peratus. Katanya, lebih membimbangkan apbila trend yang sama dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Ini kerana pada 2011, kadar obesiti dalam golongan yang berumur lima hingga 17 tahun ialah 6.1 peratus, namun, meningkat dua kali ganda dan mencapai 14.8 peratus menjelang 2019.

Beliau juga memaklumkan, susulan peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kita menjangka terdapat lonjakan jumlah penghidap penyakit ini di negara kita tidak lama lagi. Masalah berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes jenis dua, penyakit arteri koronari dan juga kanser tertentu.

Dalam hal berkaitan, apabila memikirkan masalah obesiti ini, perkara utama yang bermain dalam fikiran kita sudah pasti gemuk, masalah bentuk badan hingga terdapat individu yang hilang keyakinan diri. Pada masa yang sama, kegemukan ini juga ada yang berlaku sejak kecil ada juga yang berlaku semasa remaja dan yang kita lihat dalam kalangan masyarakat adalah selepas wanita melahirkan anak. 

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah ini? Tidak perlu dipersoalkan lagi kerana umum mengetahui bahawa masalah obesiti ini hanya dapat diselesaikan dengan diet atau mengamalkan gaya hidup yang sihat. 

Trend masyarakat kita ada segelintir daripadanya gemar menggunakan ubat kurus untuk mendapatkan hasil yang cepat tanpa memikirkan natijahnya. Kesan sampingan daripada ubatan seperti ini perlu difikirkan. 

Justeru, jika seseorang itu takut dengan kesan sampingan, mereka akan memilih untuk menjalani diet yang sihat.

Sekarang banyak pilihan untuk jenis-jenis diet ini tetapi ramai orang kita yang suka mengambil jalan pintas dengan menelan pil kurus. 

Antara diet yang popular dan boleh diamalkan, sebagai contoh adalah Intermittent Fasting (IF) ia bertujuan untuk mengatur pola makan kita mengikut jadual yang tertentu. 

Di samping itu, diet ini juga menggunakan kaedah puasa yang bukan sahaja menarik minat ramai individu beragama Islam juga mereka yang bukan Islam.

Konsep ini juga sangat popular di dunia Barat lebih-lebih lagi dalam kalangan atlet dan selebriti. Terdapat juga diet lain yang boleh kita amalkan seperti seperti Diet Atkins, Diet Keto, Diet Kalori dan Diet Suku Suku Separuh — diet jenis ini lebih berfokus kepada pengaturan menu diet dan jenis makanan diet. Konsep diet seperti ini memerlukan perancangan dan pengamalan yang lebih terperinci dan teliti.

Oleh itu, konsep ini agak membebankan bagi sesetengah orang. 

Bagaimanapun, tiada siapa tahu gaya pemakanan yang sesuai dengan badan kita melainkan diri kita sendiri. Cuba dan gagal itu biasa, tetapi sikap tidak berputus asa akan menjanjikan hasil yang luar biasa.

Jika kita benar-benar malas untuk keluar joging, berjalan kaki dan gemar menari atau mengalami obesiti yang melampau. kita boleh melakukan senaman yang sesuai dengan keadaan dan kemampuan.

Terdapat banyak video yang dimuat naik di laman Facebook, YouTube tentang video zumba atau tarian yang boleh membantu memecahkan lemak. 

Jadi apa lagi alasan untuk kita tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat? Tepuk dada, tanya selera. 

Sememangnya masalah obesiti ini merupakan perkara biasa yang berlaku kepada sesetengah negara maju. Negara yang sedang membangun pula biasanya akan mempunyai kadar obesiti rendah kerana tidak mempunyai makanan yang cukup. Kesimpulannya, hanya diri kita sendiri yang dapat mencorak perubahan dan bagaimana kita ingin mengelakkan obesiti? Terpulang kepada diri kita sendiri.

LAIN-LAIN BERITA

Puasa pupuk kesabaran

KETIKA matahari terik di atas kepala sambil memancarkan sinarnya, ia membuatkan kita rasa tidak selesa dan letih akibat panas yang tidak terhingga.  Apatah lagi menjelang

Budak tinggi gula dalam darah

MASIH ramai yang kurang mengetahui kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami masalah kandungan gula tinggi dalam darah atau lebih dikenali sebagai diabetes. Lebih-lebih lagi apabila

Sarawak tumpuan biologi dunia

SARAWAK kaya dengan kepelbagaian biologi hutan yang unik sehingga dikenali sebagai salah satu titik utama biologi dunia. Ia juga penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di

Tempat paling mahal didiami

KOS sara hidup berbeza daripada satu negara ke negara lain. Beberapa negara, kos sara hidupnya jauh lebih mahal daripada yang lain. Di bahagian tempat tinggal

Demi bekalan air bersih

PELBAGAI usaha kini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan seluruh rakyat menikmati bekalan air bersih sekali gus menampung keperluan yang kian bertambah selain menyedari kepentingannya dalam konteks

Sistem cukai di seluruh dunia

SISTEM cukai berbeza-beza secara meluas di seluruh dunia, mencerminkan kepelbagaian landskap ekonomi, sosial dan politik negara. Walaupun terdapat banyak variasi, sistem cukai biasanya mempunyai dua

BERITA TERBARU