
KUCHING: Seperti kebanyakan pemain lain, tiga import baharu Kuching City FC (KC FC) turut memasang impian masing-masing pada penampilan dalam kancah Liga Super 2023.
Kuziev Sirojiddin Salohiddin, 27, gembira apabila diberi peluang menyarung jersi skuad Kuching City musim ini.
Pemain perancang kelahiran Uzbekistan itu berazam mempamerkan aksi terbaik bersama-sama pasukan baharunya itu.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan Kuching City kerana memberi peluang kepada saya menyarung jersi The City Boys musim ini,” ujar Kuziev ketika ditemui selesai majlis menandatangani kontrak tengahari tadi.
Pemain pertahanan kelahiran Serbia, Mihailo Jovanovic, 34, cukup teruja apabila mendapat peluang menyarung jersi Kuching City musim ini.

“Satu pengalaman baharu bagi saya dapat beraksi dalam Liga Malaysia. Saya akan berikan yang terbaik pada setiap perlawanan yang diharungi nanti,” jelas Mihailo.
Ferreira Dos Santos Celio, 36 turut gembira apabila mendapat kepercayaan menyarung jersi pasukan Kuching City musim ini.

“Saya akan gunakan pengalaman ketika beraksi dalam kelab lama di Thailand (Kasetsart FC) untuk membantu The City Boys mengharugi kempen Liga Super 2023,” ujar beliau.