KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke AFFIN Bank Berhad sebagai usaha meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan belia, literasi kewangan dan pembangunan modal insan di Sarawak.
Kunjungan hormat tersebut juga menjadi platform bagi kedua-dua organisasi bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai inisiatif yang memberi manfaat untuk masyarakat khususnya golongan belia.
Perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh literasi kewangan, pembangunan kepimpinan, pembangunan bakat serta pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Sehubungan itu, Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026 adalah antara agenda utama yang dibincangkan, sekali gus merupakan program utama AZAM Sarawak menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi dari seluruh negeri ini.
Dalam kunjungan itu, delegasi AZAM Sarawak diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Suhaili, bersama-sama barisan pegawai kanan organisasi.
Delegasi itu disambut oleh Pengarah Perbankan Sarawak AFFIN Bank Berhad, Victor Liew Wui Tak, serta Pengurus Perhubungan Strategik (Sarawak), Nur Aalyya Irena Dusit, di Pejabat Wilayah Sarawak AFFIN Bank Berhad.
Sehubungan itu, bagi edisi 2026, AZAM Sarawak turut mencadangkan tema ‘Pemerkasaan Kewangan Belia’ yang memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan, perancangan kewangan, amalan perbelanjaan berhemah serta keupayaan membuat keputusan kewangan yang tepat dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks.
Perbincangan itu turut menyentuh potensi pelibatan AFFIN Bank sebagai rakan strategik bagi Premier of Sarawak Debate Challenge Cup 2026 khususnya dalam menyokong inisiatif literasi kewangan menerusi platform pembangunan belia yang berteraskan akademik dan kepimpinan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen AZAM Sarawak untuk terus memperluas rangkaian kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan organisasi dalam memperkukuh pembangunan modal insan, sekali gus melahirkan generasi muda Sarawak yang berdaya saing, beretika, celik kewangan serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.





