ARTIKEL

Azman Ujang terima anugerah berprestij Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang adalah antara tujuh rakyat Malaysia hari ini yang menerima pingat kebesaran daripada Kerajaan Jepun.

Azman dianugerah ‘The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon’ atas sumbangan beliau dalam mempromosi perasaan saling menghormati serta memahami antara Jepun dan Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di sini memaklumkan penganugerahan itu adalah pengurniaan pingat kebesaran bagi musim luruh 2021.

Katanya sejak 50 tahun lepas, sebagai wartawan, Azman telah memberikan sumbangan yang begitu besar dalam usaha memperkukuh hubungan antara Jepun dan Malaysia.

“Semasa Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr) Mahathir Mohamad mempromosi Dasar Pandang Ke Timur, Datuk Azman menemu bual rakyat dan syarikat Jepun di Malaysia serta telah menulis beberapa artikel yang memperkenal etika kerja dan kecekapan tinggi Jepun.

“Malah selepas menyandang jawatan Pengerusi Bernama, Datuk Azman aktif menemu bual individu seperti pegawai kanan kerajaan Jepun yang melawat Malaysia dan Duta Besar Jepun untuk melaporkan bagaimana bantuan serta pelaburan Jepun telah menyokong pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu menyebut turut menerima pingat kebesaran Kerajaan Jepun ialah Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star) dan bekas Duta

Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star).

Penerima lain ialah bekas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star), bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star) dan bekas Presiden Persatuan Bahasa Jepun Malaysia Edward Lee Chee Peng (The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Rays).

Menurut kenyataan itu, Pengarah Ueda Plating (M) Sdn Bhd Aoki Hiroshi pula dianugerah pingat kebesaran ‘The Order of the Rising Sun, Silver Rays’ manakala bekas Ketua Guru Bahasa Jepun AAJ (Program Persediaan Khas untuk memasuki universiti Jepun), Pusat Pengajian Asasi Sains Universiti Malaya iaitu Watanabe Junichi menerima ‘The Order of the Sacred Treasure, Gold Rays and Rosette.’

Azman, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang dan Pengurus Besar Bernama, berkata beliau amat berbesar hati menerima anugerah berprestij itu serta pengiktirafan daripada Kerajaan Jepun.

Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan dan kini selepas bersara, beliau sentiasa bersemangat dalam melaporkan hubungan erat yang terjalin antara Jepun dan Malaysia terutama dalam bidang perniagaan serta ekonomi.

“Jepun adalah antara negara yang terawal dan masih kekal sebagai antara pelabur asing terbesar di Malaysia yang sumbangannya kepada ekonomi kita amat mengagumkan serta luar biasa.

“Saya juga amat bertuah kerana menerima layanan mesra daripada Duta-Duta Besar Jepun yang berkhidmat di Malaysia. Saya juga melihat anugerah ini sebagai satu pengiktirafan kepada peranan dan sumbangan Bernama dalam menjalin serta memupuk hubungan dua hala yang sebegini kukuh,” katanya kepada Bernama.

Azman juga berkata memandangkan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Malaysia jatuh pada tahun depan, adalah tepat pada masanya untuk terus mengingatkan rakyat negara ini betapa banyak nilai murni dan budaya kerja yang boleh dan harus dipelajari daripada rakyat Jepun terutama amalan tanpa kompromi mereka berkaitan ketepatan masa.

— BERNAMA

BERITA LAIN

MEREMAJAKAN SKIM RONDAAN SUKARELA

SKIM Rondaan Sukarela (SRS) telah dilancarkan pada 21 Februari 2004. Tujuan utama penubuhan SRS adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di

BERITA TERBARU