Badminton Para Sukma S’wak fokus kecergasan

SKUAD badminton Para Sukma Sarawak yang menyambung semula latihan Selasa lalu kini fokus terhadap kecergasan.
Jurulatih, Suhaili Laiman memberitahu, anak-anak buahnya kini kurang cergas ekoran berehat terlalu lama, kerana Covid-19.
“Para pemain kelihatan teruja dan bersemangat apabila kembali menjalani latihan.
“Kami berlatih tiga kali seminggu (Selasa, Jumaat dan Sabtu),” katanya yang ditemui Suara Sarawak di Dewan Badminton Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak.
Para Sukma Johor yang sepatutnya berlangsung pada Julai 2020, ditunda ke tahun hadapan (2022).
Menurut Suhaili, mereka mempunyai perancangan untuk menyertai beberapa kejohanan berprestij di Kuala Lumpur.
“Ia merupakan rangka persiapan kami, namun ia bergantung kepada situasi semasa Covid-19,” ujarnya.
Skuad Sarawak diperkuatkan kelompok pemain berpengalaman yang merupakan penyumbang pingat dua tahun lepas.
Pemain tersebut ialah Nursyazwani Shahrom (perseorangan wanita/SL4 & Bergu Campuran), Nik Ariffin Putit (Bergu Lelaki & Perseorangan Lelaki SL3), Chung Hong Tsin (Perseorangan Lelaki (WH1), Ashley Irenaeus Jeck (WH2), Hazery Serbini (SL3), Greorgy Anak Kanyan (SL4), Mohd. Aqil Haziq Nong Chee (SL4), Nabilah Ahmat Sharif (SL4), Mohamad Kuswadi Sayip (SU5) dan Muhammad Adam Harrith Anthony (SU5).
Skuad badminton Para Sukma Sarawak meraih lima pingat pada temasya lalu iaitu dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Suara Sarawak